MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook membalas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan menyenaraikan beberapa program kementeriannya yang sebelum ini dihadiri sendiri oleh pemimpin negeri itu atau wakil Kerajaan Negeri Johor.
Dalam nada santai tetapi sinis, Loke berkata, beliau menghargai kesudian Onn Hafiz menerima jemputan untuk menghadiri pelancaran perkhidmatan KTM Komuter Selatan dan berharap perkara itu dapat menjernihkan kekeliruan berhubung dakwaan Johor sering tidak dijemput ke program Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Terima kasih Onn Hafiz atas kenyataan balas yang begitu panjang lebar dan kesudian menerima jemputan saya untuk menaiki KTM Komuter Selatan.
“Izinkan saya ‘refresh’ ingatan YAB beberapa majlis MOT yang turut dihadiri oleh YAB sendiri atau EXCO Kerajaan Negeri Johor,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Loke kemudian menyenaraikan beberapa program utama MOT yang menurutnya dihadiri Onn Hafiz, termasuk Majlis RTS Link yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Singapura pada Januari 2024, majlis ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura pada Jun 2025, pelancaran khas ETS3 serta perasmian Stesen KTM Kluang pada Ogos 2025 dan majlis pelancaran perkhidmatan ETS ke Johor Bahru pada Disember tahun sama.
Selain itu, beliau turut menyenaraikan beberapa program lain yang dihadiri wakil Kerajaan Negeri Johor termasuk majlis memorandum persefahaman pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park, lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar serta majlis pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru.
Menurut Loke, terdapat juga program kementerian yang telah menjemput wakil kerajaan negeri namun tidak dihadiri.
Beliau merujuk kepada Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei lalu yang menurutnya tidak dihadiri mana-mana wakil Kerajaan Negeri Johor walaupun jemputan telah dibuat.
“Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Loke menjelaskan terdapat perbezaan antara lawatan kerja dan majlis rasmi, sambil menegaskan tidak semua lawatan kerja kementerian memerlukan kehadiran Menteri Besar.
“Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tak nak ganggu masa YAB MB,” katanya.
Beliau turut mengesahkan surat jemputan rasmi bagi pelancaran KTM Komuter Selatan akan dihantar dalam masa terdekat dan memaklumkan Onn Hafiz turut akan diberi ruang untuk menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Kulai, Selasa depan.
Dalam masa sama, Loke secara berseloroh turut mengingatkan bahawa Exco Pengangkutan Johor pernah menyertai sesi percubaan atau ‘dry run’ KTM Komuter Selatan pada 3 Mac lalu tanpa memaklumkan kepada MOT.
“Tak maklum MOT pun, tapi saya tak melatah,” katanya.
Pertikaman lidah terbuka antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Onn Hafiz mendakwa Kerajaan Negeri Johor beberapa kali tidak dijemput ke program berkaitan pengangkutan awam yang dianjurkan kementerian berkenaan walaupun negeri itu turut memainkan peranan penting dalam menjayakan beberapa projek terbabit.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

