PELAJAR Malaysia, Nur Izzah Mohd.Shokri yang terlibat dalam kemalangan di Manchester, England kini dibenarkan keluar dari hospital semalam dan kembali tinggal di kediamannya.
Pelajar itu kini tinggal bersama ibu dan bapanya, Hamidah Awah dan Mohd Shokri Zainal yang telah berada di Manchester sejak 30 Dis lalu bagi melawat anak mereka.
Nur Izzah dirawat lebih dua bulan di Hospital Royales Stanfford selepas koma apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas pada 28 Disember lalu ketika sedang menunggang basikal.

Menurut Buletin TV3, kepulangan Nur Izzah disambut oleh kedua ibu bapanya dan juga rakan-rakan pelajar dalam suasana yang mengharukan.
Ibu bapa pelajar dari Pahang itu, walaupun telah tiba di Manchester pada akhir tahun lalu tetapi hanya dibenarkan berjumpa sekali sahaja dengan anaknya kerana keadaan COVID-19 dan hanya berkomunikasi melalui sidang video.
BERITA BERKAITAN: Nur Izzah sedar dari koma, ibu menangis doa dimakbulkan
Nur Izzah yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan tulang rusuk akibat kemalangan di Wilmslow RoadRusholmed.
Menurut ibu bapanya, anak mereka tidak mengingati langsung mengenai kejadian tersebut dan hanya mengetahuinya apabila diceritakan oleh rakan-rakan dan membaca laporan media.
Dalam masa beberapa minggu ini, pelajar itu dimaklumkan perlu perlu menjalani sesi fisioterapi untuk fungsi kognitif dan memori serta mengadakan pertemuan susulan dengan pakar bedah saraf.
Kemalangan Nur Izzah menjadi berita utama di seluruh negara hingga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sedih atas kemalangan yang menimpa. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


