Nur Izzah sedar dari koma, ibu menangis doa dimakbulkan

0
9707

KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, inilah hadiah hari jadi paling bermakna buat saya,” kata ibu Nur Izzah Mohd Shokri apabila anaknya itu mula sedarkan diri selepas 14 hari koma akibat kemalangan di Manchester, United Kingdom akhir tahun lalu.

Malah penuntut jurusan perakaunan yang kritikal apabila basikal ditunggangnya dirempuh bas itu sudah dapat mengecam wajah ibunya, Hamidah Wahab dan bapanya Mohd Shokri Zainal semalam walaupun menggunakan aplikasi video.

Menurut Hamidah yang menyambut hari lahir ke-45 semalam, Nur Izzah kini masih ditempatkan di Unit Penilaian Trauma, Salford Royal Hospital selepas menjalani pembedahan seminggu lalu.

“Saya terkejut dengan perkembangan ditunjukkan Nur Izzah semalam. Dia boleh cam ibu dan ayah dia. Malah begitu juga adik-beradik yang lain.Boleh panggil kami.

“Bahkan doktor kata Nur Izzah juga mula dapat bercakap dan berjalan. Alhamdulillah sangat. Doktor suruh lambai ke arah kami dan senyum,” katanya seperti dilaporkan wakil TV3 di London, Haliza Hashim yang disiarkan Buletin 1.30 sebentar tadi.

Mohd Shokri dan Hamidah Wahab bersama Nur Izzah./ Gambar media sosial

Menurut Hamidah, doktor memaklumkan Nur Izzah sudah dapat ke tandas untuk membersihkan diri cuma dia perlu dipimpin jururawat kerana belum dapat seimbangkan badan dengan betul lagi.

“Dari perbualan kami, Nur Izzah nak sangat balik, menangis rindu dengan kami dan semua kakak serta adik-adiknya. Saya berharap sangat dapat peluk dia, dengar sudara dia.

“Saya memang memohon doa ada keajaiban untuk Nur Izzah sebelum ini. Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami,” katanya sambil menangis kesyukuran yang ketika ini hanya dapat berhubung dan memerhati Nur Izzah menerusi FaceTime yang diatur oleh doktor Malaysia yang bertugas di hospital berkenaan.

Hamidah dan Mohd Shokri dibenarkan melawat Nur Izzah pada hari pertama mereka tiba di Manchester namun kerana mengelakkan penularan COVID-19, mereka kini hanya boleh berhubung menerusi video.

Nur Izzah, 20, berasal dari Pahang tiba di Manchester September lalu untuk menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan dan kewangan.

Beliau menjadi perhatian rakyat Malaysia selepas dilaporkan terlibat kemalangan ketika berbasikal dalam perjalanan ke sebuah kedai tidak jauh dari universitinya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik