Kisah Ahmad Komando yang lumpuh kerana payung terjun. Suara aneh menyuruhnya menanam diri dalam pasir

0
5453

Baru-baru ini tular di media sosial kisah seorang nenek yang ‘berendam’ dalam pasir di Acheh untuk merawat penyakit strok dan darah tinggi.

Kisah itu asalnya disiarkan oleh sebuah laman web Indonesia, yang menceritakan tentang wanita berusia 65 tahun bernama Rumiati yang melakukan rawatan tradisional dengan menanam dirinya dalam pasir di sebuah kawasan pantai di Banda Aceh, Indonesia.

Kisah Rumiati yang berendam dalam pasir dalam sebuah laman web Indonesia.

Rumiati yang sudah mengalami strok selama setahun tiga bulan berkata, dia sudah melakukan rawatan menanam dirinya dalam pasir itu selama 10 hari (ketika artikel tersebut disiarkan) dan sudah mula merasakan perubahan positif apabila kaki kiri dan tangan kirinya sudah mula boleh merasakan pergerakan.

Kisah Rumiati ini turut menjadi perbincangan hangat para netizen. Ramai yang mendakwa kaedah tradisional ini memang mujarab dan membantu merawat penyakit berkaitan saraf. Ramai yang sudah mencuba kaedah alternatif ini dan ia mendatangkan kesan positif.

Kisah Rumiati turut dikongsi media sosial Malaysia dan mendapat perbincangan hangat netizen.

Dalam pada itu, kisah Rumiati ini turut mengingatkan pada satu kisah yang pernah disiarkan dalam Mastika, tentang seorang lelaki yang lumpuh dan akhirnya kembali pulih selepas membuat rawatan berendam dalam pasir di tepi pantai. Bukan itu saja, lelaki itu turut mendapat kekuatan luar biasa.

Antara komen netizen yang masih ingat sebuah kisah yang pernah tersiar dalam Mastika tentang lelaki yang sembuh selepas berendam dalam pasir.

Ya, kisah lelaki bekas komando ini pernah tersiar dalam Mastika edisi April 1998, hasil wawancara wartawan Sahidan Jaafar yang menemui sendiri lelaki yang digelar Ahmad Komando ini di rumahnya di Pasir Panjang, Selangor.

Sama seperti Rumiati, Ahmad Komando turut melakukan keadah yang sama dengan menanam dirinya dalam pasir di tepi pantai setiap hari. Dah hasilnya, berlaku keajaiban sedangkan sebelum itu, doktor mengatakan dia akan lumpuh sepanjang hayatnya.  

Ini kisahnya kami paparkan semula untuk tatapan anda…

Kisah Ahmad Komando yang pernah tersiar dalam Mastika

SUATU pagi Jumaat, 17 Mei 1979, Ahmad Bashah atau lebih dikenali dengan nama samarannya Ahmad Komando yang merupakan anggota Gerak Khas melakukan penerjunan bebas setinggi 3,660 meter (12,000 kaki) di Kem Kluang, Johor. Sebelum itu, dia telah melakukan kira-kira 500 penerjunan selama berkhidmat dengan pasukan Gerak Khas.

Bersama tiga lagi rakannya, mereka berpegangan tangan melayang-layang seperti burung membelah angkasa selepas terjun dari pesawat. Sebaik tiba pada ketinggian 4,000 kaki, mereka berempat mula berpisah. Ketika itulah mereka membuka payung terjun masing-masing.

Tiba-tiba ada sesuatu yang tidak kena pada payung terjun Ahmad. Payung terjunnya yang  mempunyai tujuh bucu tidak terbuka dengan baik. Tiga daripada bucunya tidak terkembang dan melilit keseluruhan payungnya.

Tubuh Ahmad mula berputar ligat, rendah dan semakin rendah menyebabkan kepalanya pening akibat kelajuan terlalu deras. Bagi Ahmad, ketika itu hanya kematian yang menunggu di bawah. Sebagai persediaan menghadapi maut, dia berulang kali mengucap kalimah syahadah.        

Selepas mengucap syahadah, Ahmad berdoa: “Ya Allah, kalau anakku yang masih dalam kandungan ibunya ingin melihat wajahku, Kau selamatkan nyawaku.” Ketika itu isterinya sedang sarat menantikan saat kelahiran anak keduanya.

Beberapa detik kemudian, Ahmad terhempas di jalan tar di dalam kem tesebut. Dia segera dibawa ke hospital. Walaupun kesakitan, tapi Ahmad tidak pengsan sebaliknya masih boleh mendengar kata-kata doktor yang berdiri di sebelahnya dan berkata, “Harapan tipis!”

Selepas meneguk segelas air, dia terus tidak sedarkan diri. Ahmad hanya tersedar semula sewaktu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Ahmad (terbaring) ketika dilawati oleh rakan-rakan setugasnya.

Setelah empat hari di Hospital Sultanah Aminah, dia  dipindahkan pula ke Hospital Kem Terendak Melaka. Ahmad dirawat selama 20 hari di hospital itu sebelum dipindahkan pula ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Di sinilah pembedahan dilakukan bagi memasukkan besi di belakangnya.

Di sini juga Ahmad mengetahui daripada doktor yang merawat, bahawa pangkal paha kiri dan tulang belakangnya patah teruk. Doktor memberitahu Ahmad, dia akan lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah. Dalam pembedahan itu, tulang belakang Ahmad dimasukkan besi kira-kira tiga sentimeter.

Setelah selesai rawatan, Ahmad lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Untuk membuang air besar dan kecil, sejenis alat saluran tiub digunakan. Kata doktor, Ahmad  akan kehilangan daya kelelakiannya. Ahmad yang ketika itu berusia 33 tahun, menerangkan kepada isterinya keadaan sebenar dan sanggup melepaskan isterinya itu.

Bagaimanapun isterinya Norlia, 20, enggan berpisah sebaliknya sanggup mengharungi kehidupan susah dan senang bersama Ahmad walau apa pun yang terjadi.