Pagi bertarikh 25 April 2015, cuaca cerah menghiasi dada langit di kawasan penempatan Muldhoka di bandar Bhaktapur. Bandar kecil ini terletak di bahagian timur Kathmandu, ibu kota Nepal, negara kecil di banjaran Himalaya.

Pagi itu, Shyam, 35, yang merupakan seorang pemandu trak sudah keluar bekerja. Tinggallah isterinya Rasmila, 35, menguruskan dua anak mereka.

Setelah menidurkan anak bongsunya yang berusia lima bulan, Rasmila keluar ke kedai. Dia berpesan kepada anak sulungnya, Sonia yang berusia 10 tahun untuk menjaga adiknya sementara ketiadaannya.

Rasmila biasa meninggalkan kedua-dua anaknya jika dia keluar ke kedai membeli barang keperluan. Tetapi, hari itu dia tidak menjangka sesuatu yang dahsyat akan berlaku.

Lebih kurang pukul 11.30 pagi, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba Rasmila merasakan tanah tempat dia berpijak bergegar kuat. Semakin lama, gegarannya kian ganas.

Keadaan yang pada mulanya tenang jadi kucar kacir. Rasmila lihat bangunan di sekelilingnya mulai runtuh. Hari itu, bumi Nepal dilanda gempa bumi dahsyat, meranapkan kebanyakan bangunan.

Serta merta Rasmila terbayang kedua-dua anaknya yang ditinggalkan di rumah. Rasmila berlari pulang. Dia terjelepok ke tanah, menangis apabila melihat rumahnya ranap sama sekali. Dia yakin, di bawah runtuhan itu tertimbus jasad kedua-dua anaknya.

Rasmila menjerit, berlari ke sana ke mari meminta pertolongan, namun tiada siapa yang mempedulikannya. Waktu itu, semua orang panik dan kelam kabut dengan keadaan yang berlaku. Bukan hanya rumah Rasmila yang runtuh, namun ribuan keluarga yang lain turut mengalami nasib serupa.

Tidak lama kemudian, suaminya Shyam tiba selepas mendapat tahu kawasan rumah mereka dilanda gempa. Melihat rumahnya yang ranap keseluruhan, Shyam tidak yakin anak-anaknya masih bernyawa. Sebagai bapa, dia tetap mahu anak-anaknya ditemui, tidak kira hidup atau pun mati.

Shyam menguis-nguis timbunan runtuhan itu. Namun, dia tidak berdaya untuk mengangkat puing-puing runtuhan yang berat itu dengan tangan kosong.

Dua jam kemudian, tiba-tiba anak sulung mereka, Sonia muncul dari sebalik keadaan yang hiruk pikuk dan kelam kabut itu. Rasmila dan Shyam terkejut, ternyata anak pertama mereka masih hidup.

Sonia menceritakan, semasa gempa berlaku, adiknya sedang lena tidur. Kerana cemas dan takut, Sonia sempat berlari keluar rumah dan sekelip mata, rumah mereka roboh.

Mendengar cerita Sonia, Shyam terus menguis runtuhan rumah itu untuk mencari anak bongsunya. Shyam berharap agar jasad anaknya itu ditemui.

Menjelang petang, pasukan tentera tiba di kawasan itu untuk membantu. Shyam meminta bantuan mereka untuk menggali runtuhan rumahnya bagi mencari anak bongsunya. Namun, selepas tiga jam menggali, tentera menghentikan pencarian kerana hari sudah malam.

Tetapi Syham tidak putus asa. Dia masih terus mengais runtuhan itu tanpa lelah. Dan tiba-tiba, sayup-sayup dia mendengar suara tangisan bayi. Tangisan itu kedengaran lemah di sebalik kedalaman runtuhan rumahnya.

Shyam menjerit meminta bantuan. Anaknya masih hidup! Tetapi, kerana hari sudah terlalu lewat dan keadaan yang gelap serta peralatan yang kurang, bantuan terpaksa ditunda hingga ke waktu pagi.

Sebagai ibu, hati Rasmila hiba ketika mendengar suara lemah tangisan bayinya. Tambahan pula apabila mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengeluarkannya malam itu.

Bayi ajaib ini (dalam bulatan) terperangkap di dalam runtuhan.

Keesokan paginya, 26 April 2016, pasukan tentera tiba dan melakukan kerja-kerja penggalian untuk mengeluarkan bayi Rasmila yang terperangkap di bawah runtuhan rumahnya.

Setelah lebih dua jam menggali, lebih kurang pukul 10.00 pagi, bayi berusia lima bulan bernama Sonies Aawal berjaya ditarik keluar.

Bayi ini akhirnya berjaya dibawa keluar setelah beberapa jam penggalian.

Ketika itu, wartawan dan jurugambar Amul Thapa berada di tempat kejadian. Amul bertugas dengan portal berita KathmanduToday.com. dan sedang membuat liputan tentang bencana gempa yang melanda Nepal.

Apabila mendapat tahu ada seorang bayi yang terperangkap di bawah runtuhan rumah, Amul terus bergegas ke rumah tersebut. Di situ, Amul melihat sendiri bagaimana usaha untuk mengeluarkan bayi itu. Dia turut mendengar suara tangisan bayi itu dari dalam celah runtuhan.

Foto dirakam Amul ini menarik perhatian dunia.

Apabila bayi Sonies berjaya ditarik keluar, Amul turut merakamkan detik yang mengharukan itu. Wajah bayi montel itu putih, disalut debu. Sebaik dia berjaya dikeluarkan, semua orang bertepuk tangan. Kejayaan membawa keluar bayi itu bagaikan pencetus semangat, melupakan seketika saat hitam yang sedang dilalui mereka.

Foto Sonies yang dirakam Amul mendapat perhatian dunia yang ketika itu bersimpati dengan bencana yang menimpa Nepal. Sonies digelar sebagai ‘bayi ajaib’ kerana bertahan hidup selama 22 jam selepas tertimbus dalam runtuhan akibat gempa bumi dahsyat yang melanda penempatannya.

Syham dan Rasmila bersama dua anak mereka yang selamat. Di belakang adalah rumah mereka yang ranap akibat gempa bumi.

Sonies memang bertuah. Dia sedang lena tidur semasa gempa berlaku. Sebuah almari berdekatan katil tumbang ke arahnya. Almari itu lah yang jadi penyelamat apabila ia tersangkut pada katil dan bertindak seperti pengadang agar timbunan lain tidak menghempap tubuh bayi ini.

Sonies ketika berusia dua tahun. Bayi ajaib ini yang mulanya disangka sudah tidak bernyawa rupanya masih hidup di celah runtuhan rumahnya sendiri.

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.