NASIHAT tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini bagi kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu, Sabah telah ditamatkan.
“Nasihat tsunami dikeluarkan pada 8.36 pagi tadi ditamatkan pada 12 tengah hari,” menurut MetMalaysia dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, beberapa gempa bumi susulan tahap sederhana dilaporkan melanda Mindanao dengan yang terakhir berlaku pada pukul 1.12 tengah hari tadi.
METMalaysia memberitahu, kejadian bermagnitud 5.7 berlaku di koordinat 5.3 darjah utara dan 125.4 darjah timur.
Gempa tersebut berlaku di 151 kilometer tenggara dari Koronadal City.
Bagaimanapun, gempa bumi dengan kedalaman 10 kilometer itu tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.
Sebelum ini, METMalaysia mengeluarkan amaran awal tsunami di empat kawasan pantai di Sabah susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi tadi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan memaklumkan, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.
Beliau berkata, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di keempat-empat lokasi tersebut.
Menurut Arthur, ia sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.
Pagi tadi, Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 itu melanda Mindanao berpusat di lokasi dengan koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur.
Gempa tersebut berlaku kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City dengan kedalaman 50 kilometer.
Gegaran turut dilapor dirasai di Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

