KUALA LUMPUR: Tayangan filem di pawagam dibenarkan di seluruh negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mulai Jumaat ini.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu selaras dengan pengumuman kerajaan berhubung kebenaran tersebut bermula pada 5 Mac sehingga 18 Mac.
“Bagaimanapun ia perlu merujuk garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala pelaksanaan PKPP di Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
BERITA BERKAITAN: Tolong benarkan rakaman luar, 50,000 penggiat seni tiada kerja – PFM
Selain panggung wayang, aktiviti pengambaran luar telah dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP tertakluk kepada pematuhan SOP seperti protokol pencegahan penyakit, sekatan, saringan kesihatan, pembersihan, nyah kuman premis, penjarakan fizikal, tatacara keselamatan pekerja dan tindak balas kecemasan.
GSC dalam laman Twitternya mengumumkan pawagam itu akan dibuka Jumaat ini dengan menyenaraikan beberapa filem yang akan ditayangkan untuk para peminat.
Antara filem-filem tersebut ialah Raya and The Last Dragon, Demon Slayer Mugen Train, Stand By Me Doraemon 2, Godzilla vs Kong, Don’t Look Back, Endgame dan sebagainya.

Baru-baru ini, karyawan seni menyeru agar kerajaan membenarkan pengambaran di luar dan pembukaan panggung memandangkan semakin ramai insan seni yang terjejas teruk sejak larangan itu dilaksanakan selepas pelaksanaan PKP.
Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) merayu pembukaan panggung wayang kerna masih terdapat lebih 50 filem tempatan yang masih belum dapat ditayangkan.
“Lebih 50 filem tempatan tidak dapat ditayangkan di pawagam sejak pelaksanaan PKP dan penerbit filem terpaksa menanggung kerugian dalam pelaburan yang amat besar tanpa bantuan daripada kerajaan,” kata Presiden PFM, Pansha. – UtusanTV
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

