BOLEH atau tidak umat Islam pergi haji tahun ini?
Tahun lalu, rukun Islam kelima itu tidak seperti lazimnya apabila tiada jutaan jemaah mengerjakannya.
Sebaliknya, hanya sebilangan kecil jemaah dibenarkan akibat penularan wabak COVID-19.
Tahun ini ramai yang mengharapkan situasi berubah terutama mereka yang memperoleh giliran menunaikan ibadat haji tahun lalu.
Namun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, semuanya bergantung kepada Arab Saudi dan situasi pandemik ketika itu.
Katanya, beliau akan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan jemaah haji Malaysia.

“Setakat mana kebolehan untuk pergi ke Mekah ini amat bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi dan situasi pandemik COVID-19 adakah reda dan melandai atau masih lagi dalam keadaan yang cukup mencabar.
“Ini bukan jemaah Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Saya yakin kebijaksanaan (kerajaan Arab Saudi) dan melihat situasi (COVID-19) semasa, mereka akan buat keputusan,” katanya seperti dilapor BERNAMA.
Dr Zulkifli berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kit Ramah dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit hospital, di Putrajaya hari ini.
Ditanya sama ada bakal jemaah haji akan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya ibadat itu dibenarkan, Zulkifli berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum ini dilaporkan berkata, antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Namun beliau tidak menyatakan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan ibadat itu.
“… sebagai sebuah kerajaan, kita nak terima satu keputusan rasmi.. apa syarat dan akan kita patuhi,” kata Dr Zulkifli.
Baca artikel berkaitan: Pemimpin Malaysia-Saudi bertemu Mac bincang kuota, SOP haji
Pada tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.
Pada majlis hari ini, Zulkifli menyerahkan 600 unit Kit Ramah yang mengandungi debu tayamum dan botol semburan wuduk, serta 15 unit kerusi roda bernilai RM13,200 untuk pesakit di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

