sumbat jin dalam botol

Pernahkah anda melihat filem Jangan Pandang Belakang? Kalau pernah, tentu anda dapat melihat cara saka ditangkap lalu dimasukkan ke dalam botol dan ditanam bersama jagung rebus. Mudahnya menangkap jin hanya dengan tipu daya! Bolehkan jin itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol?

Sebenarnya hal itu pernah dijelaskan oleh Datuk Dr. Haron Din di dalam bukunya Menjawab Persoalan Makhluk Halus Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan. Sebagai mukadimahnya Dr. Haron Din mengambil hadis yang sama seperti dituturkan oleh Dr. Jamaluddin tentang Rasulullah menangkap Ifrit.

Bolehkah jin disumbat ke dalam botol seperti filem ini?

Ulasnya, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menangkap atau menambat iblis bahkan jauh sekali untuk memasukkannya ke dalam botol kemudian dibuang ke dalam laut mahupun ditanam. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah hanya mengelak dari diganggu walaupun pada mulanya Rasulullah berhajat untuk mengikatnya tetapi apabila mengenangkan doa Nabi Sulaiman niat itu dibatalkan.

Tegasnya, menangkap dan membuang makhluk halus tidak ada di dalam hukum syarak. Tambahan pula makhluk itu dijadikan dari api, maknanya bukan berbentuk fizikal. Kuasa api boleh melepasi apa saja termasuk tembok. Meskipun makhluk itu dikurung di dalam botol kaca yang telus cahaya ia tetap boleh menembusinya.  Bagaimana mungkin sesuatu yang tidak mempunyai jasad boleh dimasukkan ke dalam sesuatu yang berbentuk fizikal.

Botol adalah berbentuk fizikal manakala jin itu adalah tanpa fizikal yang diperbuat daripada api iaitu unsur cahaya. Sebagaimana cahaya boleh menembusi kaca begitu juga jin boleh keluar dan masuk ke dalam botol pada bila-bila masa.

Jin boleh dihalau dengan bacaan al-Quran

Halnya berlainan dengan Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad s.a.w yang boleh menangkap jin kerana mereka adalah Rasul yang diberi kelebihan oleh Allah. Namun, amalan menangkap jin bukan amalan para sahabat ataupun tabiin apalagi memasukkannya ke dalam botol.

Perkara yang digalakkan adalah berikhtiar untuk mengelakkan gangguan jin dengan membaca ayat al-Quran seperti yang diajar oleh Rasulullah seperti surah al-Baqarah, ayat Kursi, al-Jinn, Fussilat, al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan zikir. Paling penting hati sentiasa mengingati Allah dan berzikirlah dengan lidah, hati serta akal yang mengingati kebesaran Allah.

Buang jin melalui 3 kali edah

Pesan Dr. Jamaluddin sekali lagi, jangan anggap menghalau saka itu seperti membuang pen dari saku baju. Apabila sudah dibuang maka ia tidak akan kembali. Namun saka ini adalah benda yang tidak berjasad, sebaliknya ia adalah dalam bentuk gelombang.

Untuk lebih mudah difahami, saka itu boleh diumpamakan seperti minyak wangi walaupun sudah dibasuh dan baunya sudah hilang pada baju, namun bau minyak wangi yang sama masih lagi dapat dihidu jika ada orang lain yang datang kepada kita memakai minyak wangi yang sama.

Begitulah halnya dengan saka apabila sudah dibuang tapi ia akan datang balik apabila bertemu dengan saudara mara yang juga mempunyai saka daripada keturunan nenek moyang yang sama. 

Jika hendak membuangnya terus kena seluruh keluarga mengambil bahagian kalau tidak ia akan datang semula daripada saudara mara yang masih mempunyai saka. Hanya satu jalan agar saka itu tidak kembali adalah dengan mufaraqahnya.

tukar identiti untuk menghalang saka

“Kita kena tukar identiti untuk menghalang saka itu masuk kembali setelah membuangnya. Caranya adalah dengan menjalani tiga kali edah dengan mengamalkan beberapa potong ayat al-Quran dan beberapa amalan selama 120 hari hingga sebati di dalam diri dan menjadi darah daging.

Apabila bertemu kembali saudara mara yang mempunyai saka, ia tidak boleh masuk ke dalam diri kita kerana identitinya sudah berbeza. Perumpamaan 120 hari itu sebagaimana Allah jadikan jasad manusia di dalam rahim ibu selepas 120 hari baru ditiupkan roh.

“Jadikan amalan itu meresap di dalam setiap sel di dalam tubuh kita. Amalan itu dilakukan kena berguru. Saka itu tidak boleh dibuang sembarangan kerana ia akan datang semula. Apabila sudah dihalau maka pintunya kena ditutup.

Bagaimana untuk menutupnya? Ia adalah dengan amalan kerohanian. Jin walaupun dibuang ke dasar laut ia akan datang semula kepada kita di dalam sekelip mata.  Ia di dalam bentuk frekuensi atau gelombang yang boleh menembusi apa saja jasad.

Jika tidak kerana doa nabi Sulaiman a.s.

Bolehkah jin ditangkap? Boleh!, jelas Dr. Jamaluddin. Namun bukan semua yang boleh melakukannya dan bukan calang-calang orang boleh menangkapnya. Sebagi buktinya bahawa jin boleh ditangkap,  adalah seperti satu kisah yang disebut di dalam hadis Nabi s.a.w dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah, dia berkata,

“Suatu saat Rasulullah menugaskan aku untuk menjaga hasil zakat Ramadan. Kemudian datang seseorang yang mencuri harta zakat tersebut maka segera aku tangkap namun dia berkata, ‘Lepaskan aku!  Aku tidak akan mengulanginya…,” begitulah hal yang berlaku sebanyak dua kali dan berjaya ditangkap oleh Abu Hurairah.

Pada kali yang ketiganya orang itu datang lagi seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah bahawa orang itu berbohong. Maka kali ini Abu Hurairah pun menangkap lelaki itu dan hendak dibawa kepada Rasulullah. Lalu lelaki itu berkata,

Mahukah kamu aku ajarkan bacaan kepadamu yang menyebabkan Allah memberi manfaat bagimu. Jika kamu hendak tidur bacalah ayat kursi dari awal hingga akhir maka engkau akan selalu dalam penjagaan Allah dan tidak akan diganggu syaitan hingga pagi.”

Maka orang itu pun dilepaskan. Lalu hal itu diadukan kepada Rasulullah dan Baginda bersabda, “dia benar meskipun sebenarnya dia adalah pendusta(syaitan).

Dari situ jelaslah bahawa syaitan itu boleh ditangkap namun yang menangkapnya bukanlah sembarangan orang. Dan, syaitan itu juga boleh diusir dari tubuh seseorang dengan ilmu dan keimanan seseorang yang mengusirnya.

Hal itu seperti yang berlaku semasa zaman Abu Bakar al-Siddiq. Bahawa seorang sahabat melihat  Abu Bakar pernah mengusir jin yang merasuk tubuh seseorang dengan membaca al-Fatihah dan dihembuskan kepada orang yang kena rasuk dan berjaya dipulihkan.

Selepas itu hendak dijadikan cerita sahabat itu melakukan perkara yang sama kepada orang yang kerasukan jin namun usahanya itu tidak membuahkan hasil. Pertanyaan itu dikemukakan kepada gurunya,

Wahai guru, aku melihat orang yang kena rasuk, aku melihat Abu Bakar membacakan al-Fatihah ke atas orang yang kena rasuk lalu ia sedar. Namun apabila aku membuat hal yang sama, orang yang kena rasuk itu tidak sedar-sedar.”

Gurunya berkata,

Adakah sama iman kau dengan iman Abu Bakar dan adakah sama al-Fatihah kau dengan al-Fatihah yang dibaca oleh Abu Bakar?”

Menurut Dr. Jamaluddin, di situlah berbalik semula kepada asasnya untuk menghalau  jin di dalam badan kena ada ilmu. Tidak boleh hanya sekali belajar terus boleh mengubat.  Untuk menangkap, membunuh, mengikat dan memancung jin tidak semudah seperti yang didakwa oleh sesetengah pengubat.

Amboi! Senangnya hendak mengakap jin dan memancungnya. Sedangkan Rasulullah sendiri yang diberi kelebihan oleh Allah boleh melihat jin syaitan dan menangkapnya pun tidak melakukan hal sedemikian.

Di dalam sahih Muslim, dari Abu Hurairah dia berkata,  Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Ifrit dari bangsa jin semalam dia berusaha untuk menikamku dan memotong solatku namun Allah membuatku dapat mengalahkannya lalu aku  mencekiknya.

Aku sudah bermaksud untuk mengikatnya di sisi salah satu tiang masjid sehingga pagi hari agar kalian dapat melihatnya namun  jika bukan kerana doa saudaraku Nabi Sulaiman, Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan anugerahkan kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorang sesudahku.” Maka Allah mengembalikannya dengan hina.” Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram