Pas tolak ‘penjajaran baharu’, komited perkasakan MN, PN

Dari Penulis


KUALA LUMPUR – Ketika hubungan Bersatu dan UMNO semakin tegang, Pas hari ini menyatakan pendirian memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu Pas yang merupakan anggota rasmi PN diketuai Bersatu dan bekerjasama dengan UMNO dalam MN dalam satu kenyataan menegaskan, menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin.

‘’Pas juga menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya,’’ kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan tersebut hari ini.

Pendirian Pas itu susulan surat Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari yang mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 19 Februari lalu.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Dua keputusan penting yang dibuat ialah UMNO tiada kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam Kerajaan PN boleh diteruksan sehingga pembubaran Parlimen.

Takiyuddin seterusnya berkata, Pas mengikuti secara dekat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional, khususnya antara UMNO dan Bersatu.

Sehubungan itu, kata beliau, Pas telah mengadakan beberapa pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti itu diketuai Presiden Pas, termasuk yang terbaharu, semalam
dengan pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dihadiri Muhyiddin.

Beliau berkata, memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, Pas turut mengambil ketetapan meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama dan mempertegaskan usaha memperkasa MN, sekali gus mempertahan PN di semua peringkat.

‘’Sehubungan itu Pas komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama Tiga Serangkai Utama Parti Melayu/Pribumi UMNO, Bersatu dan Pas, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali,’’ katanya.

Beliau amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

‘’Pada masa yang sama Pas turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi
negara dengan sebaiknya,’’ katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Jenazah suami Nancy Shukri diterbangkan ke Kuching hari ini

JENAZAH suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari akan diterbangkan...

More Articles Like This