AKTIVITI di pusat hiburan merekodkan kesalahan tertinggi ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam yang membabitkan 144 kesalahan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keseluruhannya seramai 442 individu ditahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 430 dikenakan kompaun manakala 11 direman dan satu dijamin.
Menurut beliau, antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lapan) dan 51 untuk lain-lain kesalahan.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 63,822 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP.
“Sebanyak 3,167 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 14,492 anggota membuat pemantauan di 4,314 pasar raya, 6,217 restoran, 2,578 penjaja, 1,709 kilang, 3,923 bank dan 866 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,417 terminal pengangkutan darat, 527 terminal pengangkutan air serta 223 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, seramai 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan empat kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.
Menurut Ismail Sabri, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.
“Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 sekatan jalan raya (SJR) semalam.
“Ia membabitkan Op Penawar sebanyak 392 SJR (ATM, PDRM dan Rela), Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng Aksem (sembilan SJR),” katanya.
Semalam, katanya, sebanyak 94 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan meliputi 32 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.
Menurutnya, ia menjadikan secara kumulatifnya, sebanyak 18,123 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon sudah dilakukan sejak 30 Mac lalu.
“Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan. Operasi sanitasi membabitkan 540 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 215 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (42) serta 95 jentera JBPM,” katanya.
Selain itu beliau berkata, mengenai kuarantin wajib, semalam seramai 1,112 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.
Sejak 24 Julai lalu, katanya, seramai 138,771 individu pulang ke tanah air dan semuanya ditempatkan di 78 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
Baca artikel berkaitan: Rakyat mungkin boleh beraya di kampung tahun ini – Ismail Sabri
“Berkaitan barangan keperluan asas pula, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.
“Semalam, KPDNHEP membuat 729 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (534), pemborong (163) dan pengilang (32). KPDNHEP juga melakukan 1,904 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,884 premis mematuhi SOP manakala 20 premis diberi nasihat,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah, yang sepatutnya tamat esok, akan dilanjutkan dari 9 hingga 22 Mac depan.
Katanya, KKM mengesahkan masih ada 181 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan kes positif masih dilaporkan berlaku di lokaliti itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Sarawak, akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

