sungai muda
SUNGAI MUDA

SELAGI tiada bayaran, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau akan terus memperjuangkan isu menuntut kerajaan Pulau Pinang membayar kerana menggunakan sumber air dari negeri itu.

Terbaharu beliau berkata, Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus air daripada sumber Sungai Muda, mengikut peruntukan dalam hak riparian yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Katanya, negeri itu pada masa ini bagaimanapun telah menggunakan 56 peratus air daripada sungai berkenaan, yang sumbernya adalah dari kawasan tadahan di Ulu Muda di Kedah, tanpa membuat sebarang bayaran kepada kerajaan negeri itu.

“Mengikut hak riparian, apabila sesuatu sungai mengalir di sempadan negara, negara itu hanya ada hak untuk guna sumber air mengikut keluasan kawasan tadahan air yang disumbangkan oleh negara itu untuk dijadikan lembangan sungai, misalnya kalau lima peratus, boleh guna lima peratus sahajalah.

“Kalau ambil kira pandangan ini kawasan tadahan bagi Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, maka hak penggunaan air Pulau Pinang sepatutnya adalah lima peratus sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar, semalam.

BERITA BERKAITAN [VIDEO] Sempoi betui MB Kedah kukoq nyok

Katanya, jika merujuk kepada Australia dan Kanada, semua negeri-negeri di negara itu membayar yuran penyelenggaraan kepada negeri yang ada kawasan tadahan air, seperti Kedah yang mempunyai kawasan tadahan di Ulu Muda.

Muhammad Sanusi berkata mengambil contoh Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat itu membayar caj perkhidmatan kepada setiap negeri yang menyediakan aliran air untuk menggerakkan turbin janakuasa elektrik mereka.

“Ini apatah lagi negeri yang guna air secara fizikal dengan begitu banyak tapi tak bayar, jadi persoalan ini patut difahami dan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata terdapat pelbagai kaedah untuk Pulau Pinang menentukan bayaran kepada Kedah dan perkara itu perlu dirundingkan dengan bantuan pihak Kerajaan Persekutuan sebagai fasilitator.

“Pulau Pinang guna sebanyak 1,200 juta liter sehari (MLD) yang dipam daripada satu Loji Rawatan Air (LRA), manakala Kedah hanya guna air sebanyak 780 MLD sahaja.

“Kalau tak mahu guna kaedah MLD, dia (Pulau Pinang) boleh guna kaedah lain seperti bayaran penyelengaraan, ikut sebanyak mana air yang diguna pakai oleh negeri itu… Saya tidak akan berhenti bercakap tentang perkara ini sehingga Pulau Pinang bayar (caj air kepada Kedah),” katanya.

Katanya kerajaan negeri juga menerima nasihat daripada satu panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air di bawah kendalian Lembaga Sumber Air Negeri (LSANK), untuk mengembangkan potensi sebagai hab air untuk negeri-negeri di Semenanjung.

“Air dicadang dijadikan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri… negeri yang ada air banyak, sepatutnya ekonomi berkembang lebih besar, tapi (di Kedah) ekonomi perlahan dan ini tidak seimbang,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram