‘Kluster’ yang bagaikan ‘tiada vaksinnya’

Dari Penulis


ANALISIS

Apabila ada Ahli Parlimen PKR mengumumkan keluar parti dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), ia sebenarnya bukan satu kejutan.

Ia sudah dijangkakan kerana sebelum inipun ada ura-ura beberapa wakil rakyat PKR akan berbuat demikian yang sekaligus akan memperkukuhkan Kerajaan PN.

Ada antara mereka menyertai Bersatu dan ada pula menjadi ahli Parlimen Bebas. Apapun yang untung adalah Kerajaan PN. Mungkin dari satu segi, ia dilihat bagi mewujudkan sebuah kerajaan stabil tetapi pada masa sama ia juga akan menjemput pergolakan politik yang berterusan.

Kerajaan PN akan dituduh melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kekuasaan yang semua orang tahu berada dalam kedudukan rapuh berikutan majoriti tipis yang dimiliki. Malah yang turut mengecam ia parti yang menjadi sekutu dalam kerajaan.

Tetapi bagaimana jika pembangkang pula menerima ahli Parlimen seumpama itu? Sudah pasti mereka juga akan memberi pelbagai alasan bagi ‘menghalalkan’ keadaan tersebut.

Persoalannya bagaimana dengan rakyat yang bersusah payah keluar mengundi dan memenangkan calon yang kadang kala bukan kerana individu tetapi disebabkan parti yang diwakili oleh calon berkenaan?

Tidak payahlah bercakap soal khianat mengkhianati, hakikatnya dalam politik istilah seumpama itu hanya mainan di bibir sahaja. Lagipun mana-mana juga gabungan tidak kiralah PN, PH mahupun BN tidak akan mensia-siakan peluang jika ada tindakan yang boleh memperkukuhkan kedudukan masing-masing.

Masihkah kita ingat apa yang berlaku di Sabah selepas PRU-14 lalu? Masihkah kita ingat bagaimana berbelas-belas Ahli Parlimen UMNO ‘berhijrah’ ke Bersatu selepas pilihan raya tersebut Bersatu di dalam PH , adakah kita dengar protes keras oleh parti-parti dalam pakatan tersebut menentang ‘penghijrahan’ berkenaan?

Justeru tidak perlu mana-mana ahli politik tidak kiralah kerajaan mahupun pembangkang mahu memprotes jika ada perbuatan seumpama itu. Hormati sahaja wakil rakyat berbuat demikian. Mereka pasti ada alasan sendiri.

Soal lebih besar mereka perlu fikirkan, apakah perbuatan melompat parti atau mengisytihar menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong mana-mana blok akan menjadi ‘kluster’ yang ‘tiada vaksinnya’? Adakah selepas PRU-15 nantipun kita akan menyaksikan adegan tersebut?

Selagi tiada undang-undang melarangnya, sesiapapun tiada ada kekuatan untuk menghalang perbuatan tersebut. Jadi daripada membuang masa berdebat, berbalah, kecam mengecam bila ia berlaku, lebih baik terima ia sebagai salah satu tabiat dalam dunia politik.

Ia sama seperti mana ada ahli-ahli Parlimen yang bertukar kawasan bertanding ke kawasan selamat selepas sudah tidak rasa selamat di kawasan diwakili sekarang.

Oleh itu, tidak perlu keluh kesah. Soal diugut atau digertak, biarlah rakyat menilainya.
Rakyat sekarang bukan jahil dalam politik, mereka tahu menilai sesuatu tindakan ahli politik secara kritis. Jadi sementara menanti apa pendirian rakyat dalam soal itu pada PRU-15, semua tenang-tenang sahaja.

Yang dok mengkritik dan mengecam pula, jangan lupa juga, orang tua-tua ada berpesan, apabila kita merancang sesuatu yang tidak baik kepada seseorang, orang itu juga mungkin mempunyai 10 cara bagi membalas balik bagi mempertahankan dirinya.

Kepada parti yang ditinggalkan oleh wakil rakyat mereka, belajar-belajar bermuhasabah untuk memperbaiki kelemahan sendiri, jangan hanya bijak nampak lawan politik kita sahaja salah.

Kepada parti atau blok yang menerima sokongan wakil rakyat yang berhijrah itu, fikirkan juga adakah ia akan memberi keuntungan ketika pilihan raya nanti?

Apapun yang pasti ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara ini sejak setahun lalu semakin menunjukkan tanda-tanda mahu reda, rupa-rupanya ‘pandemik perebutan kuasa dan mempertahankan kuasa’ terus ‘mengganas’…hebat ahli politik Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saya tidak pernah U-turn, pendirian tetap sama isu PTPTN, kata Adam Adli

"Saya tidak pernah rasa saya berubah pandangan, buat U-turn dan sebagainya. Saya keras dengan pandangan saya." Demikian penegasan Timbalan Menteri...

More Articles Like This