ORANG ramai yang berjalan kaki secara perlahan mungkin empat kali ganda terdedah kepada kematian akibat Covid-19, dedah satu kajian.
BBC melaporkan, penyelidik kesihatan dari Leicester merumuskan mereka yang berjalan perlahan dengan berat badan normal, 3.75 kali ganda akan maut akibat virus itu berbanding pejalan kaki pantas.
Projek itu menggunakan data dikumpul dari lebih 400,000 individu berumur pertengahan usia.
Ketua Penyelidik, Prof Tom Yates berkata, laporan kadar kelajuan berjalan kaki akan digunakan untuk meramalkan sama ada seseorang itu berisiko tinggi kepada Covid-19.
Kajian dikendalikan oleh Institut Kebangsaan bagi Penyelidikan Kesihatan (NIHR) direka bentuk untuk meneroka kaitan antara Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan laporan kadar kelajuan berjalan kaki dengan risiko dijangkiti Covid-19 dan kematian.
Ia menggunakan data yang dilaporkan sendiri daripada 412,596 orang yang mengambil bahagian dalam UK Biobank, pangkalan data bio perubatan dan kajian penyelidikan.
Berjalan perlahan dianggap pergerakan pada kelajuan kurang 4.8 kilometer (km) sejam ketika kelajuan purata atau konsisten adalah pada 6.4 km sejam ketika pejalan kaki pantas pada jarak lebih 6.4 km.
Penyelidik juga mendapati pejalan kaki perlahan 2.5 kali ganda dijangkiti Covid-19 kronik berbanding mereka yang berjalan pantas.
Risiko dijangkiti agak tinggi bagi pejalan kaki perlahan dengan berat badan normal dan pejalan kaki perlahan dengan masalah obesiti.
Bagaimanapun penyelidik maklum kadar kelajuan pejalan kaki yang diambil sendiri terdedah kepada laporan berat sebelah sekali gus tiada rumusan tepat boleh diambil daripada keputusan kajian tersebut.
Prof Yates, seorang pakar aktiviti fizikal di Universiti Leicester berkata, mereka maklum bahawa obesiti dan lemah merupakan faktor risiko utama bagi jangkitan.
“Ini adalah kajian pertama untuk menunjukkan bagaimana pejalan kaki perlahan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 tanpa mengira berat badan masing-masing.
“Kajian pemantauan penyelidikan dan kesihatan awam yang sedang berlangsung menggabungkan kaedah ringkas kecergasan fizikal seperti kadar kelajuan berjalan yang dilaporkan sendiri sebagai tambahan kepada BMI sebagai peramal risiko potensi Covid-19,” katanya.
Keputusan kajian itu diterbitkan di dalam International Journal of Obesity.

