BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengakui kesilapan beliau dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila berkunjung ke sebuah kedai nasi ayam terkenal di ibu negara.
Dalam catatan di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau meminta pihak berkuasa keluarkan kompaun RM1,500 kepadanya kerana tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki kedai makanan berkenaan.
“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.
“Kebiasaannya, saya mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan dalam aktiviti atau pergerakan saya,” katanya dalam catatan tersebut.
Najib berkata, beliau dengan rela hati menerima kompaun berkenaan, dan akan membayarnya dalam tempoh tujuh hari bagi mendapatkan diskaun separuh harga.
“Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini.
Kompaun untuk tidak scan (imbas) MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri,” katanya.
BERITA BERKAITAN Kompaun pelitup muka, tak imbas MySejahtera RM1,500 dan ada diskaun lagi. Ok jelas?
Najib berkata, beliau akan membayar dalam tempoh tujuh hari kompaun tersebut untuk mendapat diskaun bayayan awal (early bird) sebanyak 50 peratus atau bersamaan denda RM750.
“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada ‘double standards’ dalam istilah saya. Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tak tahu lah,” katanya lagi.
Dua hari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan untuk pembayaran dalam tempoh tujuh hari, manakala 25 peratus pada tempoh tujuh hari berikutnya.
Kompaun RM1,500, jelasnya kagi, ditetapkan untuk kesalahan kategori ketiga, iaitu kesalahan yang boleh menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti.
Namun, kesalahan serius seperti menyertai aktiviti hiburan di pub atau kelab malam, akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000, manakala operator pusat berkenaan pula boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

