anwar ismail

SIAPA tidak kenal Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun masih gagal mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri tetapi kehebatannya dalam merangka strategi politik sememangnya sangat hebat.

Jika di Jepun atau juga negara-negara Barat, pemimpin yang telah dua kali dipenjarakan kerana didapati bersalah oleh mahkamah, sudah tentu sudah tiada lagi masa depan dalam dunia politik.

Ini tidak berlaku kepada Ketua Pembangkang ini. Malahan pengaruhnya tidak pernah luntur dengan strategi percaturan politiknya tetap diteruskan dalam usaha mencapai cita-cita peribadinya.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob mengingatkan barisan kepimpinan dan ahli UMNO supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PKR itu mengenai isu kerjasama antara PKR dan UMNO.

Menurut Bernama.com, Ismail Sabri berkata beliau juga bimbang kenyataan yang dikeluarkan Anwar dikhuatiri mempunyai agenda memecahbelahkan UMNO dan boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

BERITA BERKAITAN Siapakah ‘kepimpinan UMNO’ dimaksudkan Anwar?

“Saya takut ia boleh memecahbelahkan antara dalaman UMNO sendiri. Saya juga takut ada syak mengesyaki antara satu sama lain, masing-masing ‘petik’ nama orang itu dan orang ini, akhirnya sesama kita berpecah.

“Sebab itu saya harap UMNO, kita jangan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dibuat Anwar kerana agenda dia mungkin hendak pecah belahkan Umno sendiri,” katanya yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir di Terengganu hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar baru-baru ini yang dilapor berkata terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan UMNO mengenai kemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ismail Sabri menegaskan UMNO tidak akan bekerjasama sama ada dengan Anwar, PKR, mahupun DAP dalam PRU15 nanti, seperti mana yang telah diputuskan dalam beberapa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti sebelum ini.

Beliau juga berkata tiada perbincangan berlangsung antara parti itu dengan PKR dan sekiranya didapati terdapat mana-mana pihak dalam UMNO mengadakan perbincangan dengan PKR, tindakan boleh diambil kerana melanggar keputusan MT.

“Tetapi sekarang ini kita dengar dari Anwar sahaja. Anwar ni setiap minggu pun dia boleh buat kenyataan. Dari dulu lagi, (tetapi) satu pun belum betul lagi,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram