MACAM-macam cara pegawai kerajaan yang korup meminta habuan apabila khidmat mereka diperlukan untuk menyokong atau meluluskan sesuatu projek atau pinjaman berkaitan dengan agensi kerajaan tempat mereka berkhidmat.
Jika sebelum ini, kebanyakan pegawai kerajaan ditahan kerana meminta suapan berupa wang tunai, kini perbuatan itu memasuki tahap lain pula kerana apa yang diminta bukan wang ringgit tetapi khidmat seks daripada seorang wanita.
Akibat kerakusan menyalahgunakan kuasa tersebut, akhirmya seorang ketua jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanja Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita semalam.
Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas di Keningau itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah hotel.
BERITA BERKAITAN ‘Disara’ tauke lori hingga RM3,000 sebulan, 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ ditahan SPRM
Dipercayai perkhidmatan seks itu adalah sebagai suapan untuk suspek memberikan sokongan kepada wanita tersebut mendapatkan pinjaman dalam sektor pertanian.
Pengarah SPRM Sabah S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata suspek ditahan selama 24 jam untuk diambil keterangan dan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Karunanithy turut menjelaskan bahawa tafsiran suapan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan dan perkhidmatan seperti seks.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

