Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa terus lantang mengkritik dan mendedahkan kemelut dalam UMNO apabila hari ini menyenaraikan tujuh sebab yang dipercayai menjadi punca perpecahan dalam parti tersebut.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, sebagai pemain yang berada di tengah- tengah gelanggang, beliau kadang kala tertanya tanya apa yang tak kena masa ini, kenapa dan dan sejak bila.

Sehubungan itu beliau menggariskan tujuh faktor yang dianggap sebagai ‘’jawapan yang saya perolehi’’.

Faktor pertama dakwa Annuar, bermula apabila UMNO kembali menjadi kerajaan, ada yang teramat kecewa, mereka tidak terpilih menyertai Kabinet dan mereka memulakan rentak yang berbeza.

‘’Kedua, Apabila anak buah berada dalam kerajaan tapi Big Bosses di luar kerajaan, wujud dua kluster lusters dan ketiga sejak kes-kes mahkamah tidak memihak kepada yang didakwa dan dirasakan kerajaan tidak membantu,’’ katanya dalam catatan dalam Facebook hari ini.

Annuar menjadi sasaran pemimpin-pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini kerana dikatakan lebih banyak memihak kepada Perikatan Nasional (PN) apabila terus mempertahankan kerjasama dengan Bersatu.

Pendirian Annuar itu bertentangan dengan keputusan UMNO yang dikatakan menerima usul daripada ‘akar umbi’ agar parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 nanti.

Bagaimanapun Annuar tidak bersetuju dan mempersoalkan adakah benar majoriti bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu.

Dalam catatannya, untuk faktor keempat Annuar turut mendakwa, perpecahan itu berlaku sejak pertemuan sulit bulan Ogos atau September sebelum PRN Sabah.

Kata beliau, ia menyaksikan muafakat secara senyap percubaan menjatuhkan Kerajaan PN dengan sumpah setia kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Oktober 2020.

‘’Keputusan parti NO ANWAR,NO DAP cuba dibelakangi,’’ dakwa beliau.

Annuar juga menggariskan faktor kelima iaitu beliau mendakwa, sejak pertemuan sulit 17 October 2020 di sebuah rumah sekitar Ampang yang melibatkan pimpinan parti dan pemimpin PH disusuli beberapa perbincangan lain bertujuan menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

‘’Keenam setelah percubaan menukar Kerajaan PN melalui “menarik tikar di bawah kaki” yg gagal dan membawa kepada era proklamasi darurat pandemik,’’ katanya.

Untuk faktor ketujuh pula, Annuar mendakwa, satu gerakan dilancarkan dengan meminta UMNO bahagian membuat usul menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 sebagai strategi menjayakan jajaran baharu dan perhimpunan agung 2020 dirancang untuk menjadikan medan membatalkan jajaran asal yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkali-kali.

‘’Akibatnya berlakulah pertembungan dua aliran pemikiran dalam kalangan pemimpin dan bahagian-bahagian. Jajaran Baharu yang condong kepada kerjasama dengan PH vs Jajaran Asal yang condong kepada kerjasama dengan PN,’’ katanya.