macam nak lruh jantung

MACAM nak luruh jantung. Itulah komen ramai melihatkan aksi perlawanan akhir perseorangan lelaki All England antara pemain negara, Lee Zii Jia dengan jaguh Denmark, Viktor Axelsen.

Namun semuanya berbaloi apabila pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berjaya menghadiahkan kemenangan kejohanan berprestij itu kepada Malaysia.

Malah, Zii Jia, pemain pilihan ke-6 meraih pujian ramai apabila menampilkan aksi penuh yakin dan bertenaga berdepan lawannya yang mempunyai reputasi hebat selaku pemain no. 2 dunia.

Memimpin perlawanan dalam banyak keadaan, Zii Jia, 23, nyata tidak gugup ketika set pertama yang diheret ke mata deuce maksimum.

Dalam penuh debaran, Zii Jia akhirnya menang 30-29 pada set pertama meninggalkan Axelsen penuh tekanan untuk melangkah ke set kedua.

Ketika bayangan trofi All England makin hampir dengan Zii Jia mendahului lawan 18-14 di set kedua, Axelsen pula mempamerkan ketenangan sekaligus mencatkan kebangkitan mengkagumkan.

Mata demi mata diraih hingga ke deuce, akhirnya tuah memihak Axelsen dengan 22-20 sekali gus membawa ke set penentuan.

Ternyata aspek kecergasan dimiliki Zii Jia merupakan taruhan terbaik dalam set penentuan.

Ini berbanding lawannya yang terpaksa mengharungi tiga set pada perlawanan separuh akhir semalam.

Walaupun Axelsen yang juga juara bertahan telah mengerahkan segala kudrat dan pengalaman, namun kesungguhan Zii Jia untuk menang All England sangat teserlah.

Tidak koyak, tidak penat, Zii Jia pemain di ranking no. 10 dunia meneruskan permainan menyerang dan sesekali memerangkap lawan dengan pukulan drop membiarkan Axelsen kepenatan.

Walaupun mata antara keduanya agak hampir pada awalnya, namun Zii Jia jelas menguasai rentak jaguh Eropah itu.

Lee Zii Jia bersama trofi kejohanan yang juga kejuaraan All England sulung beliau.

Dan ini membawa kesudahan menggembirakan buat kem Malaysia dengan kemenangan 30-29, 22-20 dan 21-9.

Kemenangan Zii Jia kali ini menebus kekalahan pada lawan sama tahun lalu di aksi separuh akhir.

Baca artikel berkaitan: Akui Axelsen idola, namun Zii Jia sedia cipta satu lagi kejutan

Kali terakhir kemenangan perseorangan berpihak kepada Malaysia di kejohanan berprestij itu adalah pada 2017 menerusi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Tahniah Lee Zii Jia. Tahniah badminton Malaysia. Siapa pengganti Chong Wei sudah terjawab.

Kini tinggal persoalan mampukah kilauan emas Olimpik berakhir di Tokyo pada musim panas ini? Kami doakan.

Untuk rekod, Zii Jia pada suku akhir telah menundukkan pemain no. 1 dunia dari Jepun, Ken Momota.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram