KANAK-KANAK berusia 10 tahun dan lebih muda menghasilkan lebih banyak antibodi sebagai reaksi kepada jangkitan coronavirus berbanding remaja dan orang dewasa, dedah satu kajian.


KANAK-KANAK berusia 10 tahun dan lebih muda menghasilkan lebih banyak antibodi sebagai reaksi kepada jangkitan coronavirus berbanding remaja dan orang dewasa, dedah satu kajian, semalam.

Penyelidik kajian yang terkandung dalam jurnal perubatan JAMA Network Open berkata, penemuan itu membantu menjelaskan mengapa kanak-kanak kurang terkesan dengan jangkitan kronik Covid-19 berbanding orang dewasa walaupun ia masih lagi dalam penyelidikan dan banyak faktor dipercayai mengambil peranan masing-masing.

Mail Online melaporkan, Ketua pasukan penyelidik di Weill Cornell Medicine memeriksa hampir  32,000 ujian antibodi dari New York antara April dan Ogos 2020 dan menemukan persamaan 1,200 kanak-kanak dan 30,000 orang dewasa yang menunjukkan tanda pernah dijangkiti Covid-19 antara 17-19 peratus.

Saintis kemudiannya memeriksa sebahagian kumpulan pesakit yang disahkan positif iaitu 85 kanak-kanak dan 3,648 dewasa bagi menentukan paras immunoglobulin G (IgG) antibodi.

Ia menjadi kunci utama dalam ‘meneutralkan’ antibodi yang dikuatkan untuk menghalang protein virus, mencegahnya daripada menceroboh sel.

Sebanyak 32 kanak-kanak berusia antara 1-10 tahun menunjukkan paras IgG median hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding 127 remaja berusia antara 19-24 tahun.

Akhirnya, mereka memberi tumpuan kepada sekumpulan 126 pesakit positif berumur antara 1-24 tahun yang mana tidak seorang pun pernah dijangkiti Covid-19 kronik, untuk selanjutnya menentukan tindak balas antibodi.

Dalam kumpulan terakhir ini, kanak-kanak berusia 1 hingga 10 tahun secara purata mempunyai lebih dua kali ganda tahap antibodi IgG berbanding golongan remaja berusia antara 11 dengan 18 tahun. 

Golongan tersebut pula mempunyai dua kali ganda tahap purata antibodi berbanding golongan dewasa muda berusia antara 19 dengan 24 tahun.

Para penulis kajian menulis: “Dapatan kami menunjukkan bahawa perbezaan pada manifestasi klinikal Covid-19 dalam kalangan pesakit kanak-kanak berbanding pesakit dewasa antaranya mungkin disebabkan oleh tindak balas daya tahan tubuh berkaitan usia.”

Satu kertas kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications pada bulan lalu oleh para pengkaji Australia menunjukkan bahawa kanak-kanak mempunyai daya tahan tubuh “semula jadi” yang lebih aktif iaitu barisan pertahanan pertama sistem imun yang tercetus sebelum ia mengeluarkan antibodi dan melibatkan sel-sel seperti neutrofil yang mengesan jangkitan dalam tubuh.