KEMENTERIAN Komunikasi membuka dua pusat media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memudahkan urusan liputan dan penyebaran maklumat kepada pengamal media.
Pembukaan pusat media itu dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, pusat media itu terletak di Hotel Seri Malaysia Johor Bahru, Larkin yang akan beroperasi mulai hari ini hingga 11 Julai bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam.
Katanya, sebuah lagi pusat media terletak di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sabak Awor, Muar yang dibuka pada waktu dan tempoh yang sama.
“Para pengamal media diundang untuk menggunakan kemudahan yang disediakan serta mendapatkan maklumat di pusat media itu,” katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan 100 NADI di seluruh Johor turut berfungsi sebagai pusat media sokongan yang beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang, dengan senarai NADI boleh disemak melalui pautan https://www.nadi.my/lokasi-nadi.
Tirai PRN Johor ke-16 mula dibuka secara rasmi pagi ini menerusi proses penamaan calon di 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri bermula tepat 9 pagi tadi.
Ia sekali gus menandakan kempen bermula selama 14 hari sehingga 11.59 malam pada 10 Julai depan.
Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Setakat pagi semalam, sebanyak 593 borang pencalonan telah terjual, manakala 133 bakal calon disahkan telah menjelaskan bayaran deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka.
Berdasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN kali ini membabitkan seramai 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

