TIRAI Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 mula dibuka secara rasmi pagi ini menerusi proses penamaan calon di 56 pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri bermula tepat 9 pagi tadi.
Proses selama satu jam akan berlangsung hingga 10 pagi ini sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.
Ia sekali gus menandakan kempen bermula selama 14 hari sehingga 11.59 malam pada 10 Julai depan.
Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lalu.
Setakat pagi semalam, sebanyak 593 borang pencalonan telah terjual, manakala 133 bakal calon disahkan telah menjelaskan bayaran deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka.
Berdasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN kali ini membabitkan seramai 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Menjelang hari penamaan calon esok, beberapa parti politik tanah air telah pun mengumumkan senarai calon masing-masing untuk berentap pada PRN Johor kali ini.
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang membabitkan 20 calon daripada PKR, AMANAH 19) dan DAP (17).
Barisan Nasional (BN) pula bertanding di kesemua kerusi DUN menampilkan 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC.
Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan Pas akan bertanding di 11 kerusi DUN, BERSATU di 16 kerusi serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) lima kerusi DUN.
Perebutan kerusi di DUN Johor turut menyaksikan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang membentuk pakatan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing akan meletakkan calon di empat dan satu kerusi.
Pada masa sama, parti baharu yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Parti Bersama Malaysia dijangka bertanding di 15 kerusi DUN.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan kepada bakal-bakal calon supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Johor sebelum hari penamaan calon esok.
Katanya, bakal-bakal calon juga perlu membuat pembayaran deposit lebih awal.
Selain itu, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus turut menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkannya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“SPR juga ingin mengingatkan bakal calon, penyokong dan pihak berkepentingan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ramalan cuaca yang menunjukkan potensi hujan dan ribut petir di beberapa lokasi di Johor.
“Semua pihak disaran agar merancang perjalanan bagi memastikan keselamatan dan urusan keseluruhan proses penamaan calon PRN Johor berjalan dengan lancar,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

