ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad dan Oriak Marketing Sdn.Bhd dalam usaha meluaskan perniagaan produk dan perkhidmatan koperasi dalam memastikan ia terus kekal berdaya saing.
Dalam majlis yang berlangsung di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya hari ini, ANGKASA bersetuju menjalinkan kerjasama strategik dengan Koperasi Penguatkuasa PBT Bhd. khususnya melibatkan produk-produk koperasi berkenaan bagi tujuan pemasaran di bawah Projek Barang Asas (BA100), Coop Farmasi dan Coop Hardware.
Kerjasama strategik bersama Oriak Marketing Sdn.Bhd pula menyaksikan inisiatif pengedaran produk makanan kesihatan tambahan berasaskan herba yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) ke seluruh rangkaian Coop Farmasi menerusi Projek Pharma Wellness ANGKASA.
Dalam majlis menandatangani MoU itu, ANGKASA diwakili Presidennya merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh.
Pengerusi Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad pula diwakili Tuan Tun Mohd Izlizam Bahardin dan Datuk Abu Bakar Johar manakala Oriak Marketing Sdn.Bhd. diwakili Pengarah Urusannya, Dr. Furizat Yahya dan Tuan Saiful Ikram Selamat.

Sementara itu, Abdul Fattah dalam ucapannya menyatakan, MoU ini antara lain bertujuan mendapatkan khidmat nasihat melibatkan PBT sebagai pemudahcara dalam aspek perundangan dan penguatkuasaan di samping kerjasama dalam perkhidmatan logistik dan Pusat Simpanan Setempat (DC) ANGKASA serta pembekalan dan pengedaran produk dan perkhidmatan koperasi.
“Kerjasama menerusi Projek BA 100 adalah bertepatan dalam membangunkan sektor peruncitan koperasi.
“Sehingga Februari 2021, terdapat 1,700 buah koperasi telah berdaftar dan ANGKASA mensasarkan sebanyak 3,000 koperasi berdaftar menyertai projek ini menjelang penghujung tahun 2021.
Baca artikel berkaitan: Angkasa, MPMA kerjasama buka peluang ahli koperasi bekal bahan mentah
“Usaha ANGKASA memasarkan produk makanan kesihatan tambahan menerusi kerjasama dengan Oriak Marketing Sdn.Bhd. ini merupakan nilai tambah kepada perniagaan di bawah Projek Pharma Wellness rangkaian Coop Farmasi ANGKASA,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail, Naib-Naib Presiden ANGKASA, Pengerusi JPAN Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Nasir Khan Yahaya, Penasihat-Penasihat ANGKASA dan barisan pengurusan kanan ANGKASA.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

