campak murid
Tangkap layar klip video seorang guru tadika tular selepas mencampak murid semalam.

SEORANG guru yang dipercayai ‘mencampak’ anak muridnya di sebuah sekolah tadika swasta di Jalan Kebun, Shah Alam ditahan polis untuk membantu siasatan semalam, bagaimanapun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan terhadap wanita itu mendapati guru tersebut adalah guru tetap di tadika berkenaan.

Menurut sumber portal berita thereporter.my, guru tersebut telah menafikan perbuatannya dan mengatakan apa yang berlaku dalam video tersebut hanya sekadar lakonan.

“Guru itu telah dipanggil untuk direkod keterangannya bagi tindakan lanjut pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam,” kata Baharudin kepada Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Tular di media sosial Facebook video berdurasi 10 saat yang mencetuskan kemarahan orang awam memaparkan seorang guru wanita mengangkat sebelum mencampak seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain.

Kejadian dikatakan berlaku pada Khamis itu berlaku ketika sesi pembelajaran dan ibu kepada pelajar tersebut telah membuat aduan polis.

BERITA BERKAITAN Polis sahkan terima laporan kes murid tadika dicampak guru

Sementara itu dalam status Facebooknya, guru praktikal yang merakam kejadian itu memaklumkan dia telah diberhentikan kerja di tempat tersebut serta-merta selepas video tersebut dimuat naik oleh tunangnya ke media sosial.

“Tolong betulkan balik ye. Saya cikgu praktikal, saya yang rekod. Cikgu itu (dalam video viral) cikgu tetap. Saya yang diberhentikan, bukan cikgu (tetap) itu.

“Saya rekod untuk video pembelajaran sebenarnya. Kena bagi kepada pensyarah sebab saya praktikal. Masa kejadian itu, saya tak perasan. Dah habis baru perasan dan betul saya dibuang (diberhentikan),” kata guru tersebut yang dikenali sebagai Irma.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram