SELEPAS pemain perseorangan negara, Lee Zee Jia merangkul kejuaraan All England baru-baru ini, kini muncul seorang lagi pemain muda negara mencatatkan prestasi membanggakan ketika menyertai kejohanan badminton di luar negara.
Satu lagi pencapaian terbaik pemain perseorangan badminton negara itu dicatatkan dalam kejohanan Terbuka Poland hari ini apabila Ng Tze Yong muncul sebagai juara dalam kejohanan tersebut.
Pemain berusia 21 tahun itu mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kedua dari Sepanyol, Pablo Abian 21-19, 21-11 pada aksi final kejohanan itu, sebentar tadi.
Pada perlawanan yang diadakan di Hala widowiskowo-sportowa, Gniezno itu, pemain berkenaan memastikan kejuaraan menjadi miliknya selepas mencatat kemenangan ke atas Abian yang berada di ranking ke-54 dunia dalam tempoh 52 minit.
Menurut BH Online, lebih manis, kemenangan Tze Yong yang ketika ini berada di ranking ke-136 dunia itu adalah yang pertamanya tahun ini selepas kali terakhir beraksi di pentas antarabangsa di Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019.
BERITA BERKAITAN “Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara” – Muhyiddin
Ketika itu, perjalanan Tze Yong tersekat di suku akhir apabila tewas di tangan pemain India, Lakshya Sen dengan keputusan 21-9, 21-11 dalam tempoh 35 minit.
Begitupun, detik paling manis Tze Yong pada tahun berkenaan adalah memenangi Kejohanan Antarabangsa Australia Selatan yang menyaksikan dirinya muncul juara selepas pemain Korea Selatan, Lee Hyun II menarik diri di set ketika keputusan 23-21, 5-1.
Sebelum itu, gandingan Choong Hon Jian-Toh Ee Wei turut meraih kemenangan beregu campuran, apabila menewaskan pasangan dari Switzerland, Nicolas A. Mueller-Ronja Stern 21-16, 21-12 dalam tempoh 28 minit di pentas final.
Turut melakar kemenangan adalah Man Wei Chong-Kai Wun Tee yang menewaskan rakan senegara, Yee Jun Chang-Chia Weijie 21-17, 20-22, 21-19 dalam tempoh 49 minit.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

