KETUA Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, ahli pergerakan sayap itu tersentuh apabila apa perwakilan mempertikaikan mengenai kesetiaan mereka yang dipimpin Datuk Seri Noraini Ahmad.
Bagaimanapun, katanya, kenyataan susulan Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyejukkan keadaan dan perkara itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus bekerja keras membantu parti.
Berikut ialah kenyataan penuhnya:
- Alhamdulillah Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah melabuhkan tirainya semalam dan satu dasar besar telah diputuskan menerusi sebulat suara berkaitan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
- Malah keputusan lain juga dicapai khususnya ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.
- Setiap mandat dan keputusan MKT serta suara-suara akar umbi perlu diberi keutamaan dalam menentukan hala tuju parti dalam erti kata yang sebenar. Kita ada ahli dan jentera parti yang berpengalaman seharusnya kita tidak perlu gentar untuk membuat keputusan yang drastik.
- Parti kita adalah parti bermaruah, sampai bila harus di perkotak-katik dan kita harus sama-sama bergerak ke depan dengan lebih padu dan bermuafakat pelbagai peringkat.Hidup UMNO !!!
- Mengenai ucapan yang menyentuh kesetiaan Wanita terutamanya Ketua Wanita UMNO Malaysia, sudah pasti sedikit sebanyak menyentuh perasaan hati kecil kami namun dengan kenyataan susulan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid ianya telah menyejukkan hati para pejuang Wanita UMNO.
- Kami ambil ianya sebagai lumrah dan asam garam dalam politik malah kami jadikan ianya pembakar semangat untuk Wanita UMNO bergerak menghayun langkah bersama parti. Ianya juga tidak akan mematahkan semangat Wanita yang sekian lama penuh setia, bekerja keras tidak mengira waktu menjadi teman ketika parti dalam susah mahupun senang.
- Bukanlah untuk kami Wanita UMNO mengungkit malah jauh sekali untuk membangkitkan segala keringat yang dicurahkan selama ini tetapi itulah hakikatnya Wanita UMNO setia dan tetap setia.
- Ingin ditegaskan, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad dan barisan kepimpinan lain semasa Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada Sabtu lalu telah menyatakan ikrar untuk bersama parti dan sanggup mengorbankan apa jua kedudukan, pangkat untuk membuktikan kesetiaan kami kepada parti keramat ini.
- Marilah kita dakap perjuangan ini… marilah kita sama-sama hayun langkah dan gerak sederap memecah segala cabaran serta gelombang yang ada di depan dalam merealisasikan UMNO sebagai sebuah perjuangan.
Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat adalah cogankata yang sentiasa terpahat kemas dihati sanubari kami.
Hidup UMNO.
Datuk Norshida Ibrahim
Ketua Penerangan Wanita UMNO

