ernie zakri

PASANGAN selebriti popular negara yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan, Syamel dan Ernie Zakri kini muncul dengan single terbaharu yang romantis berjudul Goodbye Hello.

Selepas seminggu diijabkabulkan, Syamel meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang tidak jemu mengirimkam doa buat mereka berdua.

“Alhamdulillah dan syukur, saya dan Ernie telah selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri. Terima kasih buat semua yang tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan kami dari mula sehingga hari pernikahan.

“Goodbye Hello adalah hadiah terbaru daripada kami berdua buat peminat setelah mendirikan rumah tangga. Ia mengenai pasangan kekasih yang tidak akan berpisah selama-lamanya, perkataan Goodbye yang sering kita ucapkan ketika hendak berlalu, kemudiannya dibalas dengan Hello, menggambarkan kemanisan sebuah perhubungan yang tidak akan terlerai kerana ikatan janji yang telah termeterai,” katanya.

Sementara itu, menurut pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL 35), Ernie, memberitahu idea untuk menghasilkan single duet itu timbul selepas penyanyi Faizal Tahir dan komposer Mike Chan menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan mereka.

“Setelah mendengar demo yang diberikan, kami terus terpaut dengan melodi pop moden yang santai dan romantis. Selain itu kami juga diberi ruang untuk menulis lirik bersama bagi melengkapkan lagu tersebut.

“Ia amat berlainan dengan lagu-lagu duet kami terdahulu seperti Aku Cinta dan Takkan Terlerai dari segi genre, lirik dan ‘mood’ yang memerlukan penghayatan lebih berat, manakala dengan Goodbye Hello pula ia membangkitkan perasaan indah dan ceria buat pasangan kekasih atau suami isteri,” ujarnya.

Tambah Ernie, lebih menarik lagi, proses merakamkan single berkenaan dilunaskan tiga hari sebelum sah bergelar isteri kepada Syamel.

“Bayangkanlah betapa bergegasnya kami mengejar masa, akan tetapi semuanya berjalan dengan lancar…syukur Alhamdulillah.

“Proses pembikinan single Goodbye Hello yang memakan masa selama dua hari untuk disiapkan telah berlangsung ketika negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pada hari pertama, kami berempat berbincang dalam sesi brainstorming mengenai pembahagian rangkap, kemudian hari kedua pula proses rakaman dilakukan, di mana ia memakan masa selama beberapa jam saja, dan banyak yang kami pelajari daripada kedua-dua komposer ternama sepanjang tempoh tersebut.

“Selain itu, rezeki turut menyebelahi kami apabila dipelawa untuk membintangi drama komedi bersiri 13 episod bertajuk Kalau Dah Berbini yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan ini di saluran Astro Warna,” tuturnya.

Dalam pada itu, Syamel berharap buah tangan terbaharunya itu akan diterima baik peminat dan pengikut setia muzik tempatan. Meskipun dia menganggap karya tersebut bukanlah lagu ‘power ballad’ yang pernah dibawakan sebelum ini.

Goodbye Hello boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi