tumbuh biji benih

Mampu kah kita mencipta sebuah makmal percambahan benih yang serupa seperti proses yang Allah lakukan? Memang nampak mudah, campak benih kacang hijau ke dalam kapas basah, esok kita akan dapat melihat kulit kacang hijau sudah terkoyak lalu kelihatanlah tunas kecil di celah belahan kacang hijau tersebut.

Kita tidak pernah terfikir pun bagaimana sukarnya proses itu berlaku hanya untuk menumbuhkan sebiji kacang hijau?

Tapi kalau kita masih mahu juga melakukan proses yang sama di makmal, ia akan menelan belanja yang besar dan menggunakan kepakaran yang ramai.

Untuk hidupkan benih sebesar biji sawi anda perlukan belanja yang besar dan kepakaran yang ramai

Bayangkanlah hanya untuk menghidupkan benih walaupun hanya sekecil biji sawi, kita memerlukan beberapa buah tong besar air panas, oksigen dan bahan penguraian. Selain itu kita juga memerlukan alat penyaman udara, mesin mengawal suhu, bahan kimia dan mesin canggih untuk memecahkan sebatian kompleks menjadi sebatian yang sederhana susunannya dan kecil partikel-partikelnya supaya mudah meresap masuk melalui selaput dinding sel.

Bukan sedikit yang diperlukan untuk pencipta proses percambahan tiruan di dalam makmal walaupun sekadar untuk menghidupkan benih yang sebesar biji sawi. Kita memerlukan makmal menjadi sebuah kilang yang mengeluarkan bunyi bising dan mengeluarkan bahan pencemaran yang banyak.

Itu hanya biji sawi, tetapi bagaimana pula kalau kita hendak mencipta proses percambahan benih yang besar dan keras seperti buah doum atau pokok jarak. Kulitnya langsung tidak boleh ditembusi air dan tidak akan kembang walaupun direndam lama di dalam air.

Agaknya kita perlukan makmal yang seluas benua Amerika barulah boleh terciptanya proses percambahan tiruan bagi benih buah doum dan pokok jarak.

Inilah kuasa Allah

Tapi, Allah mencipta sesuatu dengan keistimewaan yang bersesuaian dengan fitrah alam. Pada benih yang keras dan sukar untuk meresap air Allah bekalkan benih dengan ciri-ciri istimewa iaitu pada benih itu ada lubang kecil.

Menerusi lubang kecil yang dikelilingi sabut dan span yang boleh menyerap air, dari situlah air akan tembus hingga ke embrio biji.

“Mampu kah kita melakukan semua itu? Sudah tentu tidak.”

Tapi Allah mampu melakukan proses percambahan yang begitu rumit dengan senyap dan aman damai di dalam benih yang diletakkan pada kapas basah. Proses yang sama juga berlaku tanpa kita sedari di dalam kebun kecil di belakang rumah.

Tanpa kehadiran makmal, bahan kimia yang banyak dan penelitian yang rapi. Ia terjadi setelah benih disemai di dalam tanah dan prosesnya berjalan sendiri secara semula jadi pada pandangan mata kasar.

Ini proses yang rumit

Namun sebenarnya proses percambahan itu adalah satu proses kehidupan yang rumit bermula dengan penyerapan air lalu kulit benih terkoyak, air menyerap masuk ke dinding sel, pembelahan sel dan kromosom terjadi.

manusia tidak akan mampu menyaingi kekuasaan Allah

Kemudian dibantu dengan suhu yang sesuai lalu oksigen dibekalkan, bermulalah satu kehidupan, hormon terbentuk dan mula bekerja untuk menguraikan zat makanan. Dari situ barulah vitamin dapat bekerja membekalkan makanan kepada embrio lalu terbentuklah organ tumbuhan, akar menjunam ke tanah manakala tunas muncul di celah-celah tanah.

Tunas tumbuh menjadi daun, batang dan dahan, lalu mengeluarkan bunga, putik dan berbuah. Dari sebiji benih kacang hijau yang tumbuh ia sarat dengan mukjizat kebesaran Allah.

Sedangkan kita manusia tidak memiliki kemampuan pun untuk menumbuhkan pokok-pokok. Yang mampu melakukannya hanya Allah, sang Maha Pencipta yang Maha Memberi Rezeki yang Maha Esa dalam melakukan semua itu, bukan berhala ataupun tuhan-tuhan sekutu lainnya sebagaimana yang diyakini oleh orang-orang musyrik.

____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram