Kenali siapa sebenar Ahli Sunnah wal Jamaah

0
39
siapa ahli sunnah waljamaah

Yang ini duk kata dia ahli sunnah waljamaah, yang itu bukan. Yang itu pula tuduh yang ini bukan ahli sunnah waljamaah, hanya dia sahaja. Dah pening masyarakat. Mana satu ahli sunnah yang sebenar.

Semua kalut mengaku ahli sunnah, tetapi dalam masa yang sama saling pula tuduh menuduh orang lain atau firqah lain bukannya ahli sunnah, sesat lagi menyesatkan.

Ini realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam kita hari ini. Masing-masing bertelagah dan saling mempertahankan pandangan serta idealogi sendiri.

Secara langsung memberi kesan yang sangat besar terhadap pembangunan dan perkembangan umat Islam. Isunya hanyalah ingin memperakui dirinyalah ahli sunnah waljamaah yang sebenar.

Persoalannya, siapakah yang dikatakan sebagai ahli sunnah waljamaah. Dan apakah ciri-ciri yang ada pada ahli sunnah untuk diiktiraf bahawa dialah ahli sunnah yang sebenar?

Bagi Dr. Amini Amir Abdullah, Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), ahli sunnah waljamaah merupakan mereka yang mengikut sunnah nabi dan bersama jamaah.

Mereka berpegang kuat dan teguh dengan al Quran dan as-Sunnah sebagaimana wasiat Baginda s.a.w. yang bersabda,

Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah. Senantiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habsyi yang hitam. Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak.

Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham.

Jauhilah kalian dari perkara-perkara yang baru (dalam urusan agama) kerana setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (HR Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Hadis ini menegaskan bahawa sepeninggalan Baginda s.a.w. (akhir zaman) umat Islam akan menyaksikan perselisihan yang begitu banyak dalam memahami ajaran agama Islam. Satu-satunya cara agar tidak terpesong adalah dengan mengikuti sunnah Baginda s.a.w. dan sunnah khulafa ar-Rasyidin.

Dari sudut akidah, ahli sunnah waljamaah beriktiqad bahawa Allah S.W.T. tidak bertempat dan tidak menghadap ke mana-mana arah.

Sedangkan selain ahli sunnah seperti kelompok wahabiyah, mereka berbeza pandangan dalam hal ini. Pada pandangan mereka Allah S.W.T. itu bertempat dan menghadap ke satu arah sahaja.

Semua bidaah adalah sesat

Bahkan di kalangan ahli sunnah, mereka tidak mengatakan semua bidaah sebagai sesat, tetapi berhati-hati dan masih memberi ruang ijtihad terhadap bidaah hasanah dan bidaah dhalalah.

Sebaliknya kelompok wahabi pula sangat tegas dalam mentafsirkan bidaah dan memperakui yang semua bidaah adalah dhalalah (sesat). Ini sedikit perbezaan yang berlaku antara fahaman ahli sunnah dengan fahaman wahabiyah.

Lebih dasyat lagi, kita dapat lihat banyak bukti dalam kalangan wahabiyah yang suka mengkafirkan orang lain yang kononnya terlibat dengan bidaah yang sesat.

Manakala bagi yang berfahaman ahli sunnah pula, lazimnya mereka akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu takfir (mengkafirkan orang).

Pendek kata golongan ahli sunnah adalah golongan yang mengajak kepada perpaduan dan kesatuan sesama masyarakat Islam. Sedang mereka yang selalu menimbulkan kerosakan dalam pembentukan perpaduan di kalangan umat Islam bukanlah tergolong dalam kelompok ahli sunnah waljamah. 

Pendekatan dan tindakan mereka yang terlalu tegas dan bersangatan itu, telah melahirkan pandangan-pandangan para ulama yang menidakkan apa manhaj yang dibawa wahabiah dalam negara kita.

Justeru kita perlu berhati-hati dengan fahaman yang dikaitkan dengan wahabi yang mengarah kepada salafi jihadis

Daesh memperjuangkan Islam secara terroris, malah sanggup membunuh umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka

Dari fahaman inilah, maka lahirnya kumpulan Taliban, Daesh, Islamic State dan seumpamanya. Bahkan telah banyak pandangan dari para pengkaji yang mula mengaitkan mereka dengan wahabi. Puncanya tidak lain kerana berakar dari sifat takfir, yang menyebabkan lahirnya terrorisme dan radikalisme di Syria dan Iraq.

Jadi sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati dengan pandangan yang terlalu ekstrem ini. Jika tidak besar kemungkinannya akan melahirkan pengganas dan gelombang penentangan.

Inilah parameter yang boleh digunakan bagi menentukan siapakah sebenarnya yang berada dalam kelompok ahli sunnah waljamaah ataupun tidak. Wallahu a’lam

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram