PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan bakal melahirkan anak keduanya pada awal bulan Ramadan ini.
Menurut Siti,42, dia akui tidak dapat lari daripada merasai perasaan gementar saat masuk ke dalam dewan bersalin meskipun ini bukanlah pengalaman pertamanya.
“Semua wanita mempunyai pengalaman yang sama setiap kali proses bersalin, sudah tentu ada perasaan gementar.
“Pengalaman pertama dahulu pastinya tidak akan sama dengan pengalaman kedua. Insya-Allah saya memilih untuk bersalin pada awal bulan Ramadan ini,” katanya kepada URTV.
Siti ditemui di majlis pelancaran Wafer Emas Edisi Terhad Ekslusif Jubli Siti 25 Tahun dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini.
Dalam pada itu, Siti sudah menghentikan semua aktiviti seni bagi memberi ruang untuk dirinya berehat sementara menanti kelahiran cahaya mata kedua.
“Majlis ini adalah yang terakhir akan saya hadiri sebelum berehat lama. Insya-Allah, saya akan kembali aktif semula pada bulan Ogos nanti.
“Saya mohon semua orang mendoakan agar proses kelahiran itu nanti dipermudahkan dan berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Sementara itu, Siti turut berkongsi mengenai kolaborasi bersama YaPEIM yang bersama-sama mencipta sejarah dengan memperkenalkan wafer emas 999 satu gram, lima gram dan dinar emas (4.25 gram).
“Keluaran YaPEIM Gold ini adalah langkah untuk mengalakkan masyarakat terutama dalam kalangan peminat saya untuk menjadikan wafer emas ini koleksi peribadai sekaligus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.
“Pihak YaPEIM mensasarkan jualan 30,000 keping bagi ‘varian’ satu gram, manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra tempahan.
“Selain itu, ia dapat menjana pendapatan kepada orang ramai sebagai contoh peminat saya yang sudah telah mendaftar sebagai ‘dropship’ wafer emas ini,” jelasnya.
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

