Kelas aset berbeza faktor dividen KWSP lebih tinggi – Zeti

0
116

PEMBERIAN dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2020 yang lebih tinggi berbanding agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah disebabkan perbezaan kelas aset pelaburan antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan KWSP.

Sebagai rekod, dividen KWSP bagi tahun 2020 berjumlah 5.20 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.90 peratus simpanan syariah, pertama kali melebihi agihan pendpatan ASB yang diumumkan PNB, Disember lalu iaitu pada kadar 4.25 sen seunit.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, KWSP sejak awal penubuhan sentiasa meletakkan jumlah tinggi dalam portfolio aset pelaburan kepada pendapatan tetap.

Beliau berkata, difahamkan secara purata 50 peratus daripada portfolio KWSP dalam tempoh 10 tahun lalu berada dalam pendapatan tetap.

PNB pula kata Zeti, hanya mula melabur dalam aset pendapatan tetap sejak tahun 2017 iaitu kira-kira enam peratus daripada asetnya.

Pada masa sama, Zeti memaklumkan, KWSP telah meneroka pasaran antarabangsa lebih awal berbanding PNB yang menyaksikan prestasi pasaran lebih baik.

“Kami sentiasa ‘memerhatikan’ antara satu sama lain tetapi kita perlu sedar yang PNB ini adalah dana amanah manakala KWSP pula dana pencen. Kedua-dua agensi mempunyai objektif sama untuk menjana aliran pulangan mapan tetapi perlu diingat KWSP mempunyai mandat membayar liabiliti pencen.

“Pelaburan PNB banyak tertumpu kepada ekuiti iaitu kira-kira 81 peratus daripada aset berada dalam pasaran tersebut. Semasa kedudukan ekonomi tidak menentu, portfolio pendapatan tetap akan lebih baik daripada ekuiti.

“Atas dasar itulah kami berhasrat mempelbagaikan portfolio supaya lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran persekitaran semasa,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman laporan tahunan PNB secara maya, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dividen KWSP: Ada sinar, rendah tapi memuaskan

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Dalam pada itu, walaupun mengharungi cabaran besar akibat krisis pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu yang hampir melumpuhkan pertumbuhan ekonomi seluruh dunia, PNB terus mencatatkan prestasi membanggakan dan terus berdaya tahan.

Pengaktifan serta-merta Pelan Kesinambungan Perniagaan sebaik sahaja pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu telah membuahkan hasil apabila PNB berjaya meningkatkan aset di bawah pengurusan (AUM) tahunannya.

Jumlah AUM dana amanah itu telah meningkat kepada RM322.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM321 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Unit dalam edaran (UIC) PNB bagi kesemua 15 jenis dananya turut naik sebanyak empat peratus mencecah 264 bilion unit selepas menerima lebih daripada 200,000 pemegang akaun baharu sepanjang tahun menjadikan jumlah keseluruhan akaun adalah sebanyak 14.5 juta.

Menurut Zeti, PNB telah berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian memberangsangkan tahun lalu.

Selain itu, kata Zeti, penyertaan PNB di pasaran antarabangsa juga telah meningkat secara progresif selain dikukuhkan dengan strategi baharu mempelbagaikan pelaburan kelas aset lebih luas di pasaran domestik.

“Kini, kami juga mengintegrasikan agenda kelestarian ke dalam pelaburan kami. Malah, PNB juga akan terus mengorak langkah menjadi institusi pelaburan distintif bertaraf dunia,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram