logo sprm

DUA kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan empat pekerja teknikal syarikat pembekal sistem ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan menggodam Sistem MyIMMs.

Kesemua yang berusia antara 34 tahun hingga 42 tahun ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam sistem JIM berkenaan.

Penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal itu membawa kepada penemuan beberapa komputer di JIM yang dilengkapi dengan peranti serta perisian untuk menggodam sistem.

Gari Metro Online melaporkan dua kakitangan yang ditahan itu pula disyaki bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Sumber berkata, mereka dikenal pasti terbabit dalam membantu satu sindiket menjalankan aktiviti menggodam pangkalan data JIM.

“Dipercayai kesemua kakitangan terbabit turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini.

“Rentetan daripada itu, beberapa perkakasan teknologi maklumat dan komputer di JIM disita.

“Turut disita, komputer riba dan cakera keras milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan penggodaman sistem terbabit,” katanya.

Setakat ini, SPRM sudah mengenal pasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi mereka.

“Penahanan mereka ini adalah lanjutan daripada operasi bersama JIM yang dilaksanakan sejak Selasa lalu di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

“Terdahulu, lima tangkapan dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Kami melihat isu penggodaman sistem ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara,” katanya.