Hamzah kata kalau tak salah apa takut, minta Zahid buat laporan polis

Dari Penulis


WALAUPUN sudah tiga hari rakaman mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebar namun kedua-dua mereka belum membuat laporan polis.

Pada Rabu, apabila rakaman itu tersebar Ahmad Zahid yang dalam satu kenyataan menafikan itu suara beliau menyifatkan ia percaturan politik politik yang jahat dan jijik serta menegaskan akan meminta pegawainya membuat laporan dengan segera.

Anwar juga turut menegaskan akan meminta pegawainya melakukan tindakan yang sama kerana mendakwa ia fitnah dan tipu helah pimpinan.

Bagaimanapun sehingga pukul 5 petang, tiada laporan dibuat sama ada oleh Ahmad Zahid mahupun Anwar.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada wartawan di Ipoh hari ini.

Hamzah bagaimanapun mengesahkan terdapat laporan polis yang dibuat, tetapi oleh orang lain.

“Yang pasti, kalau ada laporan polis, kita akan buat siasatan. Kalau Zahid kata dia tak ada buat conversation itu, dia patut yakin dan dia buat laporan polis. Sampai semalam, dia tak ada pun buat laporan polis. Begitu juga Anwar Ibrahim, kalau dia yakin bukan dia yang bersuara, dia buat laporan polislah.

“Saya nak bagi tahu pada rakyat semua, melakukan laporan polis dan laporan itu palsu adalah melakukan satu kesalahan. Jadi kalau dia rasa dia tak melakukan kesalahan, apa takut, buatlah laporan polis,” ujar Hamzah seperti dilapor ASTRO AWANI.

Beliau ditemui selepas program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri Di Tambun, Perak pada Jumaat.

Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar, sejak Selasa.

Rakaman perbualan itu menjurus pada rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.

DI MELAKA, Polis menasihati Ahmad Zahid dan Anwar tampil membuat laporan berhubung rakaman audio itu sekiranya benar diri mereka difitnah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima tujuh laporan daripada pelbagai pihak dan sehingga pagi Jumaat, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh dua pemimpin politik itu atau wakil mereka.

“Setakat ini tujuh laporan telah diterima dan kita lihat daripada tempoh, reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya ia sampai ke tahap orang ramai sudah rasa bimbang dan gusar, kita akan jalankan siasatan.

“Saya tidak dimaklumkan (laporan dibuat Ahmad Zahid dan Anwar), kita tunggu sahaja lah, kalau betul mengatakan beliau difitnah, tampillah membuat laporan demi kebaikan juga,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, analisis bagi menentukan ketulenan rakaman audio dan butiran perbualan yang tular juga akan dilakukan sejurus pihak polis menerima laporan daripada salah seorang individu yang didakwa terlibat.

“Itu tindakan susulan yang mana apabila laporan dibuat oleh seseorang yang mengatakan difitnah itu, kita akan terus membuka kertas siasatan. Hanya selepas itu pihak polis akan proses dan menganalisis rakaman audio itu untuk menilai bukti atau apa sahaja yang diperlukan,” tambahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tular video curi kabel di MRR2, polis giat buru empat individu

POLIS sedang mengesan empat individu yang dipercayai terlibat dengan perbuatan mencuri kabel di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2),...

More Articles Like This