POLIS sedang mengesan empat individu yang dipercayai terlibat dengan perbuatan mencuri kabel di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Khamis lalu.
Video memaparkan kegiatan empat individu tersebut disyaki sedang mencuri kabel turut tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan, pihaknya telah mengesan satu video tular di laman TikTok menunjukkan kejadian tersebut kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Menurut Khairul Anuar, video berkenaan memaparkan beberapa individu disyaki sedang mencuri kabel dari sebuah lubang manhole di tepi jalan MRR2.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dilakukan sehari sebelum itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
“Pengadu telah memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum ternampak sebuah kenderaan jenis Honda Odyssey berwarna kelabu berada di tepi jalan tersebut.
“Pengadu kemudiannya mendapati empat orang lelaki sedang memunggah kabel-kabel yang telah dipotong pendek masuk ke kenderaan tersebut.
“Kejadian berkenaan telah dirakam oleh pengadu sebelum kesemua suspek telah beredar pergi daripada lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dengan suspek terlibat sedang dikesan.
Beliau memberitahu, semakan mendapati nombor pendaftaran kereta Honda Odyssey yang digunakan suspek digunakan atas kenderaan lain atau palsu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM300,000 atau penjara tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

