Sultan Selangor lengkap dua dos vaksin, 375,260 di seluruh negara

Dari Penulis

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech di Hospital Shah Alam.

Istana Selangor dalam satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini memberitahu, suntikan kedua itu dibuat selepas 21 hari baginda berdua berkenan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 20 Mac lepas.

Turut berkenan menerima suntikan dos kedua adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Baginda berkenan mengambil suntikan vaksin COVID-19 selepas dimaklumkan bahawa hampir kesemua petugas barisan hadapan di Selangor telah mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

“Baginda turut menyeru sekalian rakyat jelata di semua peringkat umur supaya tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi kesejahteraan dan kesihatan bersama,” menurut hantaran itu.

Sultan Sharafuddin juga menggesa rakyat agar segera membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera dan bersabar menanti giliran mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, seramai 375,260 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama 565,940 telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini adalah 941,200.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,273, diikuti Sarawak (57,682), Sabah (53,859), Perak (52,639) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 51,383 individu diikuti Sabah (40,162), Perak (37,884), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,014).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,378,754 atau 34.50 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,250,428.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This