TIMBALAN Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith meminta maaf apabila tertidur semasa berlangsungnya majlis Khatam Al-Quran dan Graduasi Huffaz di Palm Mall, Seremban semalam selepas videonya tular.
Permohonan maaf itu dibuat oleh wakilnya, Pegawai Tugas-Tugas Khas Farahiah Zubir yang memberitahu Ahli Parlimen Kuala Pilah itu keletihan dan berada dalam keadaan kurang sihat namun bagi memenuhi undangan jemputan beliau tetap hadir ke majlis tersebut.
“Untuk makluman Datuk Eddin Syazlee telah memohon maaf kerana tertidur pada acara tersebut. Beliau makan ubat sebelum ke majlis tersebut tetapi tetap menggagahkan diri untuk memenuhi jemputan.
“Alhamdulilah pada majlis itu Datuk Eddin Syazlee telah meluluskan pemasangan penghawa dingin di Dewan Sekolah Menengah Sains Kuala Pilah dan menyumbang sedikit dana bagi membantu pihak sekolah memperoleh bas untuk kegunaan pelajar,” katanya dipetik Bernama.
BERITA BERKAITAN Rupanya tidur pada waktu ini punca LEMAH SYAHWAT. Ramai lelaki yang lakukannya
Terdahulu, video yang tular di media sosial hari ini menunjukkan Eddin tertidur di kerusi ketika namanya dipanggil oleh pengacara majlis bagi menyempurnakan program tersebut.
Video berdurasi seminit di Facebook yang dirakam menerusi sebuah acara pada Sabtu itu hangat menjadi perbualan netizen.
Timbalan menteri berkenaan dirakam sedang terlelap di kerusi atas pentas, sebelum dikejutkan oleh beberapa jemputan lain yang turut berada di pentas sama sebaik sahaja dia tidak bangun ketika namanya dipanggil untuk menyampaikan anugerah.
Selain Facebook, video itu turut dikongsi dengan meluas menerusi Twitter dan TikTok.
“Alhamdulillah last-last bangun juga dia. Tiga orang kena kejut baru bangun,” menurut kapsyen pada posting tular.
TImbalan Menteri tersebut difahamkan mempunyai masalah kesihatan berkaitan kencing manis. Pada 2019, Eddin Syazlee pernah rebah di Parlimen, menyebabkan sesi persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan seketika.

