hael husaini

SEBAIK sahaja pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tamat, penyanyi dan komposer Hael Husaini kembali sibuk dengan kerja-kerja penulisan, penghasilan dan rakaman lagu di studio.

Justeru itu, bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan, Hael tampil dengan single terbaharu yang berunsur kerohanian padat dengan mesej mendalam dan kesedaran berjudul Nuraga.

Menurut Hael, dia bersyukur apabila dapat kembali bekerja semula walaupun masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).

“Kebanyakkan masa lapang ketika PKPB dihabiskan di studio dengan menyiapkan beberapa projek besar (lagu) yang masih belum boleh diumumkan lagi.

“Demam AJL yang melanda negara telah pun reda, pelbagai rintangan terpaksa kami lalui demi menjayakannya, dan kini tiba masa yang sesuai saya kembali dengan karya terbaru yang diberi judul Nuraga.

“Walaupun single ini dilancarkan dekat dengan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi, ia bukanlah sebuah lagu spesifik ke arah Ramadan dan ia lebih kepada nasihat yang boleh didengar pada bila-bila masa.

“Nuraga bermaksud sifat belas kasihan atau perasaan simpati, ia bertepatan dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang di mana ramai yang sedang menempuh dugaan hidup dan ada juga yang mengharapkan bantuan atau belas kasihan daripada orang lain yang mampu bagi meneruskan kehidupan.

“Sebenarnya lagu ini telah pun dicipta pada awal 2020 sebelum pandemik Covid-19 lagi bersama rakan komposer, MFMF. Mungkin masanya kurang sesuai pada ketika itu, dan pada tahun ini kami nekad untuk melancarkannya,” katanya.

mfmf
MFMF berkolaborasi bersama Hael menerusi Nuraga

Sesi rakaman single Nuraga telah dijalankan di Studio MFMF dalam masa yang singkat, akan tetapi kualitinya tetap dijaga seperti kesemua lagu ciptaan mereka sebelum ini.

Kata Hael, single kali ini, dia cuba lari daripada kebiasaan dan tampil dengan lagu bergenre ala nasyid kerana elemen kerohanian yang ada di dalamnya berserta unsur nasihat agar bersesuaian dengan mood lagu tersebut.

“Ini juga merupakan pengalaman baru buat MFMF kerana dia tidak pernah menghasilkan lagu sebegini, namun begitu kami berjaya menyiapkannya.

“Bagi video muzik pula, ia lebih kepada penyampaian secara lahiriah tanpa sebarang jalan cerita atau apa-apa gimik dan lebih langsung, jika nak tahu lebih lanjut kenalah tonton di YouTube nanti.

“Saya harap single ini diterima baik oleh semua kerana mesej yang cuba disampaikan mengenai dunia yang dicabar perlu ada Nuraga, berbekal dengan iman ia dapat diatasi dan segalanya perlu dihadapi dengan sabar,” kongsinya.

Menguak kembali memori menyambut kedatangan Ramadan, penyanyi berusia 33 tahun itu gemar berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

“Antara aktiviti yang saya lakukan pada bulan puasa jika ada masa lapang adalah berkunjung ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

“Walaupun akitviti tersebut dibenarkan pada tahun ini, tetapi kita kena sentiasa menjaga keselamatan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya.

“Saya harap Aidilfitri pada tahun ini, kita dapat merayakannya bersama orang tersayang dan tentunya saya akan mengambil peluang ini untuk meraikannya bersama anak saya, Helena dan keluarga,” ujarnya.

Nuraga boleh dimuat turun di iTUnes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syariakt telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala video muziknya pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi