tv3 tv9

SENTIASA bersyukur dengan apa yang diberikan selain memegang teguh rahmat buat rakyat Malaysia yang masih berjuang untuk mengatasi pandemik Covid-19.

Justeru itu, bersempena dengan sambutan bulan Ramadan yang bakal tiba, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) telah melancarkan kempen Salam Sayang pada edisi tahun ini.

Tema Salam Sayang dipilih sebagai kesinambungan kepada Setulus Ikhlas yang dibawakan pada tahun lalu. Salam Sayang membawa banyak makna dalam kehidupan harian kita.

Lebih penting ia menyuntik elemen kasih sayang sesama insan, rasa hormat, keikhlasan dan memberi sokongan kepada mereka yang berhadapan dengan situasi getir akibat penularan pandemik ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios (MPTN), Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, MPTN, khususnya TV3 dan TV9 telah mencetuskan inisiatif kempen Salam Sayang bagi membantu para pengusaha kecil memperluaskan perniagaan mereka menerusi Misi Salam Sayang.

“Objektif kami adalah untuk sebarkan rezeki dan luaskan jalinan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan. Misi Salam Sayang ini dijangka dapat membantu memulihkan semula semangat mereka untuk mencari rezeki.

‘Selain itu, TV3 dan TV9 turut meneruskan tradisi untuk menyajikan program-program menarik yang merangkumi genre keagamaan, drama, bual bicara, gaya hidup dan hiburan untuk tatapan penonton. Penonton juga boleh membeli-belah dan membuat persiapan raya dalam program Jom Heboh Di Rumah – Raya Bersama Shopee yang akan disiarkan pada 4 & 5 Mei hadapan,” ulasnya.

Untuk makluman, TV3 akan menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil ini mempromosikan produk mereka di laman sosial TV3 Malaysia. TV3 juga akan membeli barangan produk mereka untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Aktiviti khidmat masyarakat (CSR) ini akan diadakan pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan. Pada pengakhiran Ramadan nanti, pihak stese televisyen akan menayangkan kompilasi video eksklusif 30 minit menceritakan tentang Misi Salam Sayang kepada penonton.

Misi ini ini bertujuan untuk menceriakan bulan Ramadan kepada mereka yang terkesan. Untuk sebarang informasi lanjut, sila layari www.xtra.com.my/salamsayang.