BEKALAN vaksin Covid-19 negara dijangka melebihi jumlah pendaftaran untuk mendapatkan suntikan berkenaan mulai Jun ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ia juga menjadikan sasaran PICK bagi mencapai 80 peratus imunisasi berkelompok menjelang penghujung tahun bakal menjadi kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia dijangka menerima kira-kira sembilan juta vaksin pada Jun ini.
“Bekalan akan mula melebihi pendaftaran pada Jun. Pasti selesai sebelum akhir tahun,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter miliknya hari ini.
Baca artikel berkaitan: Pemberian vaksin Covid-19 hampiri sejuta dos
Hampir 400,000 terima dua dos suntikan vaksin Covid-19
Dalam ciapan sama, Khairy turut memuatnaik infografik yang memaparkan status permintaan dan bekalan vaksin setakat semalam.
Berdasarkan infografik graf tersebut, bekalan vaksin dijangka berada pada kadar 27 juta, iaitu melebihi 80 peratus populasi menjelang bulan November dan jumlah tersebut akan meningkat melebihi 30 juta sebulan kemudian.
Semalam, Khairy mengecam tindakan negara maju yang membolot vaksin Covid-19 sehingga menyebabkan bekalan untuk negara kurang membangun menjadi terhad.
Jelas Khairy, situasi zalim dan tidak adil oleh negara maju itu mengingatkan beliau kepada sebuah filem terkenal iaitu Titanic.
Beliau berkata, Malaysia terpaksa beratur menunggu giliran sedangkan negara kaya telah membeli bekalan yang mencukupi untuk memberi suntikan vaksin kepada rakyat mereka untuk tiga, empat atau lima kali.
“Apabila kapal ini (Titanic) sedang karam, golongan kaya yang berada di kelas pertama mempunyai bot keselamatan. Negara miskin, yang kurang membangun pula dibiarkan untuk lemas.
“Inilah apa yang sedang berlaku hari ini. Saya berharap dapat mempercepatkan program vaksinasi ini tetapi jadual penghantaran kita adalah seperti sedia ada.
“Jika ini bukan ketidakadilan, maka saya tidak tahu apakah ia. Dan kami sedang cuba yang terbaik untuk memastikan program vaksinasi kita berjalan sehingga selesai, bukan hanya untuk kesihatan awam tetapi juga untuk pemulihan ekonomi yang amat penting,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

