PEMBERIAN vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan 24 Februari lalu hampir mencecah sejuta dos selepas 979,794 telah pun menerima suntikan setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia merangkumi seramai 583,903 individu yang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, seramai 395,891 individu telah pun melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 tersebut.
Bagi pemberian dua dos vaksin, kata Adham, Selangor masih lagi menjadi negeri penerima tertinggi iaitu melibatkan 52,617 individu diikuti Perak (43,394); Sabah (41,267); Kuala Lumpur (33,603) dan Pahang (32,429).
Katanya, ia diikuti Sarawak iaitu melibatkan 32,052 individu, Pulau Pinang (28,142), Johor (27,809) dan Kedah (25,384).
“Seramai 18,985 telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di Kelantan diikuti 17,465 (Terengganu); 17,160 (Negeri Sembilan) dan 10,419 di Melaka.
“Di Perlis pula, seramai 8,307 telah menerima dua dos vaksin diikuti 4,541 di Putrajaya dan 2,319 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Baca artikel berkaitan: Hampir 400,000 terima dua dos suntikan vaksin Covid-19
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Selangor juga menjadi negeri penerima dos pertama vaksin Covid-19 tertinggi iaitu seramai 77,252 individu.
Beliau memaklumkan, ia diikuti Sarawak iaitu seramai 61,890; Sabah (54,070); Perak (52,679) dan Johor (52,198).
“Bagi jumlah pendaftaran untuk PICK pula, seramai 8.51 juta individu telah pun mendaftar merangkumi 35.10 peratus daripada populasi.
“Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu seramai 2.28 juta diikuti Johor (1.08 juta); Sarawak 720,541; Kuala Lumpur (693,646) dan Perak (626,546),” jelas beliau.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

