Isu MV judi raya : Pelakon mengaku terdesak cari duit, produksi tak maklum awal

0
167
judi

SEJAK kelmarin, media sosial kecoh apabila sebuah video iklan raya yang mempromosikan aktiviti perjudian telah mengundang kemarahan dan kebencian orang ramai.

Lebih teruk lagi apabila barisan pelakon yang menjadi sebahagian dalam video terbabit turut diselar kerana tidak sensitif dan seolah-olah sanggup memperjudikan agama demi wang ringgit biarpun hanya dibayar RM 180.

Justeru itu, seperti memetik laporan mStar, beberapa pelakon yang terlibat tampil bagi membersihkan nama dan mendakwa mereka tidak dimaklumkan rakaman itu bertujuan mempromosikan aktiviti perjudian.

“Seorang wakil daripada produksi hubungi dan memasukkan kami ke dalam kumpulan (group) WhatsApp diberi nama ‘Raya MV Shoot March 2021’. Saya beli baju raya semata-mata untuk penggambaran tersebut tanpa mengetahui ia mewakili jenama yang mana satu.

“Sudah jadi kebiasaan pemilik jenama merahsiakan produk mereka, malah semasa kita buat penggambaran pun mereka cakap jangan ambil (rakam) video, jangan beritahu sesiapa sebab ‘surprise’,” kata seorang pelakon yang enggan mendedahkan namanya.

Penggambaran video muzik yang dibintangi lima individu beragama Islam yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan itu diadakan di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.

Tambah pelakon berusia 26 tahun itu lagi, dia menyesal kerana tidak berani menarik diri dan meneruskan penggambaran yang diadakan pada 13 Mac lalu.

“Kami terdesak (desperate), freelance macam kami terjejas teruk akibat Covid-19. Apabila dapat ‘job’ ini, saya ambil saja tanpa banyak tanya soalan. Untuk ‘job’ ini mereka bayar pun sedikit sangat.

“Kita buat sebab tak ada cara lain nak cari duit…kami freelancer. Pada awalnya memang berkaitan raya, tapi masuk bahagian kedua di hujung penggambaran baru kami sedar ia adalah judi.

“Pihak produksi minta kami ‘lip sync’ empat baris lirik lagu yang jelas berkaitan perjudian.

“Saya menyesal sebab tak berani ‘pull-out’, padahal kami tiada kontrak apa-apa pun. Saya jadi panik, bukan saya saja…kawan-kawan pun kena dan saya rasa bersalah,” ujarnya.

Bagi pelakon utama, Saifullah Mohd. Yunus,24, dia kecewa dengan apa yang berlaku namun terpaksa meneruskan penggambaran kerana mahu bersikap profesional.

“Kami sangat profesional, takkan kita nak minta produksi hentikan dan kami akan pulang…tidak!

“Memandangkan sudah 70 peratus siap, kami hanya teruskan seperti yang dirancang,” katanya.

Saifullah dan rakan-rakannya turut bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis dalam isu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo serta pengarah video iklan mempromosikan judi dalam talian bagi mencari ‘duit ‘raya’ telah ditahan, semalam.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, usaha mengesan dalang utama di sebalik pembikinan video itu masih diteruskan.