PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua pihak perlu mengikut jalur hukum yang sah serta menghormati Perlembagaan dan peraturan yang menjadi asas kepada institusi raja.
Atas dasar itu, jelasnya Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Saya menghormati hak mana-mana pihak untuk mengambil tindakan mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.
“Namun, sebarang usaha untuk menggugur atau memakzulkan seseorang raja bukan perkara kecil kerana ia membawa implikasi yang besar terhadap kestabilan, keamanan serta keharmonian negeri dan negara,” katanya di Facebook, hari ini.
Justeru, tegas beliau, setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara tertib, berlandaskan Perlembagaan serta memelihara kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan institusi raja yang menjadi salah satu tonggak penting negara.
Terdahulu, media melaporkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.
Pemasyhuran itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Pemasyhuran itu bagaimanapun dijangka menghangatkan lagi krisis pertikaian takhta di Negeri Sembilan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

