Anggota polis maut ketika kejar suspek, diklafikasikan kes bunuh

0
3739
polis maut

SEORANG anggota polis maut selepas terliibat dalam kemalangan ketika mengejar seorang suspek penjenayah di Jalan Utama, Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kematian Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, ketika bertugas diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mengulas mengenai kejadian, itu Soffian berkata, mangsa bersama dua anggota dari Balai Polis Dato Kramat terserempak dengan seorang lelaki ketika melakukan rondaan cegah jenayah pada jam 1.15 pagi Sabtu di Jalan Scottland.

Memetik laporan Malaysiagazette.com, tiga anggota tersebut meminta suspek berusia 35 tahun itu untuk memberhentikan motosikalnya namun dia memecut laju hingga ke Jalan Utama.

“Berlaku aksi kejar mengejar hingga ke Jalan Utama. Dalam kejadian itu suspek juga dilaporkan menunggang secara berbahaya iaitu zig-zag bagi mengelakkan dirinya diberkas.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Jalan Utama itu suspek dikatakan menghimpit motosikal ditunggangi Muhammad Iqbal hingga dia terbabas sebelum jatuh dan terhantuk pada pembahagi jalan.

“Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suspek mengalami kecederaan ringan susulan turut terjatuh dari motosikalnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang semalam.

BERITA BERKAITAN Polis maut angkara dilanggar pemandu disyaki mabuk

Tambah Soffian, suspek berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu.

Jelas beliau, semakan rekod lampau juga mendapati suspek memiliki 11 rekod membabitkan lima jenayah dan enam dadah.

“Suspek yang positif dadah itu akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

“Siasatan juga akan dibuat mengikut Seskyen 186 Kanun Keseksaan serta Akta Dadah 1952 atas kesalahan memiliki dan positif dadah” ujar Soffian.

Dalam perkembangan sama, Soffian memberitahu, Muhammad Iqbal merupakan anggota berdedikasi dalam menjalankan tugas dan sudah berkhidmat dalam pasukan itu hampir dua tahun.

“Jenazah anggota itu akan diiringi Polis Pulau Pinang hingga ke kampung halamannya di Besut, Terengganu untuk dikebumikan .

“Saya ingin ingatkan orang awam agar bekerjasama dengan pihak polis sekiranya diminta untuk melakukan pemeriksaan, ini sekali gus dapat mengelakkan kejadian tidak diingini sebegini berulang,” kata Soffian.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram