SERAMAI 495,750 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 783,987 individu telah menerima dos pertama.
Katanya, ini menjadikan keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara ini berjumlah 1.27 juta dos.
Menerusi satu infografik yang dikongsikan melalui laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin ialah Selangor dengan 103,613.

Ujar beliau, ini diikuti Kuala Lumpur (87,603), Sarawak (74,154), Johor (71,609) dan Sabah (65,940).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini pula ialah Selangor dengan 70,468, diikuti Perak (49,958), Sarawak (48,444), Sabah (45,253) dan Kuala Lumpur (44,379).

Baca artikel berkaitan: Pemberian vaksin COVID-19 mencecah 1.26 juta dos
Mengenai jumlah individu yang berdaftar untuk program imunisasi, Dr Adham berkata setakat semalam, sebanyak 9.22 juta atau 38 peratus daripada disasarkan telah mendaftar, dengan Selangor kekal mencatat angka tertinggi sebanyak 2.406 juta pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos depan pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya, manakala fasa ketiga dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

