SEBANYAK 1.29 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan seluruh negara setakat semalam sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu.
Pada masa sama, sasaran Fasa Pertama PICK iaitu 500,000 menjelang penghujung April juga berada dalam landasan tepat selepas 498,504 individu telah pun melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, bagi tempoh sama, seramai 791,910 individu telah pun menerima dos pertama vaksin tersebut.
Bagi dos kedua, kata Dr. Adham, Selangor kekal menjadi negeri yang menerima vaksin tertinggi iaitu melibatkan seramai 70,512 individu.
Beliau berkata, ia diikuti Sarawak (50,448); Perak (49,995); Sabah (45,602) dan Kuala Lumpur iaitu seramai 44,379 individu.
Di Johor pula, Dr. Adham memaklumkan seramai 37,412 telah melengkapkan dua dos vaksin diikuti Pahang (33,691); Pulau Pinang (33,126) dan Kedah (30,178).
“Seramai 24,601 individu telah menerima dua dos vaksin di Negeri Sembilan; 24,112 di Terengganu; 22,350 di Kelantan dan 13,340 di Melaka.
“Di Perlis, 9,746 individu melengkapkan dua dos masing-masing manakala seramai 5,361 di Putrajaya dan 2,651 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Baca artikel berkaitan: Sasaran 500,000 lengkap dua dos makin hampir
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Selangor juga kekal menjadi penerima vaksin tertinggi bagi dos pertama iaitu melibatkan 103,615 dos.
Beliau memaklumkan, ia diikuti Kuala Lumpur iaitu seramai 87,609; Sarawak 78,936; Johor 71,736 dan Sabah 66,448.
“Bagi jumlah pendaftaran untuk PICK pula, seramai 9.25 juta individu telah pun mendaftar merangkumi 38.10 peratus daripada populasi.
“Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu seramai 2.41 juta diikuti Johor (1.15 juta); Sarawak 863,954; Kuala Lumpur (737,214) dan Perak (680,205),” jelas beliau.
Tempoh pelaksanaan fasa pertama PICK bermula Februari hingga April membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua telah pun bermula semalam sehingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

