PURATA kadar kebolehjangkitan atau R naught (Rt) seluruh negara kepada jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 semalam kekal pada tahap 1.12 selaras dengan penurunan sedikit kes kepada 2,690.
Kadar berkenaan buat pertama kalinya kekal selepas mencatatkan turun naik sejak melonjak kepada 1.14 pada 14 April lalu daripada 1.09 hari sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan kebanyakan negeri juga merekodkan penurunan kadar kebolehjangkitan berdasarkan kepada kes baharu semalam.
Namun begitu, kata Dr. Noor Hisham, Kelantan terus mencatatkan Rt tertinggi dalam negara apabila merekodkan 1.36 walaupun jumlah itu sedikit menurun berbanding 1.40 dicatatkan kelmarin.
Selain Kelantan, beliau berkata, hanya tiga negeri lain mencatatkan Rt mengatasi kadar kebangsaan iaitu Kuala Lumpur (1.21), Selangor (1.13) dan Negeri Sembilan juga 1.13.
Kadar kebolehjangkitan di ketiga-tiga negeri tersebut juga menunjukkan penurunan berbanding kelmarin.
Baca artikel berkaitan: Kadar kebolehjangkitan turun sedikit, 7 negeri atasi nasional
Walau bagaimanapun, keadaan masih membimbangkan kerana lapan negeri lain masih merekodkan Rt melebihi kadar 1.00 iaitu Sabah (1.05); Johor (1.12); Melaka (1.08); Kedah (1.10); Pahang (1.12); Perak (1.00), Terengganu (1.01) dan Sarawak (1.12).
“Tiga negeri dan wilayah iaitu Pulau Pinang, Labuan dan Putrajaya pula menyaksikan Rt di bawah paras 1.00 iaitu masing-masing pada kadar 0.96, 0.80 dan 0.97.
“Di Perlis pula, hanya satu kes baharu yang dilaporkan semalam,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Facebook miliknya hari ini.
Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Januari lalu ialah 0.81 pada 3 Mac.
Yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menjangkakan negara bakal mencapai kadar Rt kurang 1.0 menjelang Mei depan.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

