KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan ibu bapa dilarang daripada membawa anak-anak mereka yang masih kecil daripada mengerjakan umrah atau solat di Masjidilharam, Mekah semasa Ramadan.
Memetik Saudi Gazette, kementerian itu berkata, ia adalah sebahagian daripada peraturan yang diumumkan berkaitan permit umrah dan solat di Masjidilharam semasa Ramadan.
Katanya, peraturan itu termasuk mendapatkan permit bagi umrah dan solat melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna; imunisasi dua dos vaksin atau kelengkapan tempoh 14 hari selepas pengambilan dos vaksin pertama atau pulih daripada jangkitan coronavirus.
Kata kementerian itu lagi, kenderaan mereka yang mempunyai permit dibenarkan memasuki kawasan pusat tanah Haram.
Peraturan itu juga menetapkan hanya kenderaan yang mempunyai permit dibenarkan memasuki pelbagai pintu masuk ke Mekah bergantung kepada masa yang ditetapkan di dalam permit.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan had umur yang dibenarkan mengerjakan umrah adalah antara 18 hingga 70 tahun sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan.
Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini menyatakan kesemua solat pada hari yang sama boleh dikhaskan dan solat tidak boleh dikhaskan bagi tempoh lebih sehari pada masa yang sama selepas tamat permit sehari.
Ia boleh ditempah untuk hari berikutnya.

