PKPB seluruh Raub, PKPD satu lokaliti di Pahang, Sarawak

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PENINGKATAN kes positif COVID-19 secara mendadak di beberapa kawasan dalam daerah Raub, Pahang telah membuatkan lokaliti itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 13 Mei depan.

Pada masa sama, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mukim Gali dan Tras dalam daerah tersebut telah diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh sama.

Menurut Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes aktif dalam tempoh sembilan hari ini apabila telah merekodkan sebanyak 83 kes positif COVID-19.

Selain itu, kata Ismail Sabri, KKM turut mengesahkan Kluster Raub Jaya telah merebak disebabkan aktiviti sosial dan turut dikesan di sekolah serta dalam kalangan pelajar.

Katanya, taburan kes itu melibatkan beberapa lokaliti dalam mukim Gali iaitu Bandar Raub, Sungai Ruan, Kampung Baru Sempalit dan mukim Tras melibatkan Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh daerah Raub dan PKP di mukim Gali serta Tras.

“Pelaksanaan PKPB dan PKP di daerah serta mukim-mukim ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua lokaliti masing-masing melibatkan satu di Temerloh, Pahang dan Sri Aman, Sarawak bermula esok hingga 13 Mei.

Beliau berkata, PKPD di Temerloh dikuatkuasakan di Taman Seri Desa, Kuala Krau manakala PKPD di Sri Aman dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu.

Baca artikel berkaitan: PKPD beberapa lokasi di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan

Kata Ismail Sabri, KKM telah merekodkan 11 kes positif COVID-19 daripada 117 orang yang disaring sehingga kini di Taman Seri Desa, Kuala Krau.

“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk mengurangkan pergerakan dan komunikasi dalam komuniti bagi memutuskan rantaian jangkitan serta memudahkan aktiviti pengesanan awal kes-kes berisiko di kawasan sekitar,” jelas beliau.

Mengulas mengenai PKPD di SMK Melugu, Sri Aman, Ismail Sabri memaklumkan KKM hari ini melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di lokaliti tersebut.

Sehingga kini, kata Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 594 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 17 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak bermula 30 April sehingga 13 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangktian COVID-19 ke komuniti luar,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dakwaan dibangkitkan terhadap projek Battersea Power Station tidak berasas

DUA laporan forensik yang dikemukakan berhubung dakwaan penilaian harga tidak munasabah (overvaluation) dalam projek Battersea Power Station merumuskan bahawa...

More Articles Like This