SIMPATI dengan nasib dialami ahli keluarga kepada kru KRI Nanggala 402 yang terbunuh setelah kapal selam dinaiki mereka tenggelam di perairan Bali minggu lalu, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) hari ini menghadiahkan wang tunai sebanyak RM5,000 (17 juta rupiah) kepada lima keluarga mangsa yang hidup susah.
Malah UEL sendiri berasa sebak apabila dapat bercakap dengan ahli keluarga menerusi panggilan video selain mendoakan agar mereka diberi kekuatan dan mendapat pertolongan Allah
“Saya niat nak beri kata semangat doa dan hadiahkan RM25,000 untuk lima keluarga yang susah mangsa tragedi KRI Naggala 402. Setiap keluarga RM5,000 atau 17 juta rupiah. Bila call terasa seperti sebuah keluarga jer,” tulis UEL dalam hantaran Facebook beliau.
Mengulas lanjut, UEL memberitahu, beliau terlihat berita di MetroTV News Indonesia dan menghubungi keluarga Serda Diyut dengan bantuan NGO Aksi Cepat Tanggap .
Serda Diyut kata UEL meninggalkan isteri dan dua orang anak yang mana beliau dapat bercakap dengan keluarga dan anak beliau.
“Comel anaknya. Keluarga minta doakan anaknya boleh bercakap dan berjalan. Sekarang umur 5 tahun. Kerana belum boleh bercakap dan berjalan.
“Sayu jer rasa tengok anaknya yang tak tahu apa-apa. Masa berdoa bersama tadi keluarganya sebak sedih. Mereka baru lepas berbuka dan sedang bacaan Yassin.
*Semoga Allah beri ketabahan buat semua ahli keluarga dan orang terdekat buat mangsa KRI Nanggala-402. Allah beri keampunan dan rahmat buat semua. Terima kasih NGO Aksi Cepat Tanggap. Semoga menjadi asbab kebaikan,” tambahnya.
Kapal selam berusia 44 tahun itu hilang isyarat semasa sedang menjalankan latihan peluru berpandu torpedo selepas meminta kebenaran untuk menyelam pada 21 April lalu.
Ketika kejadian, kapal selam itu dipercayai berada pada kedalaman 600 hingga 700 meter meskipun kapal itu direka mampu tahan pada kedalaman lebih 500 meter.
Semalam, dua pegawai kanan tentera laut Indonesia mendakwa arus bawah air yang kuat berkemungkinan menjadi punca kapal selam itu turun dan tenggelam dengan cepat pada kedalaman 850 meter di laut dekat utara Bali minggu lalu, sehingga membunuh 53 kru.
Menurut dua pegawai kanan tentera laut, pergerakan gelombang bawah air yang kuat di kawasan dilaporkan kapal selam itu hilang kelihatan dalam satu imej laporan yang dirakam satelit cuaca Jepun, Himawari-8 dan juga milik Eropah.

