Pendakwah terkenal Ustaz Abdul Somad selamat melangsungkan pernikahan dengan gadis berusia 19 tahun Fatimah Az Zahra Salim Barabud, petang semalam.
Pernikahan pendakwah berusia 44 tahun itu yang diadakan di kediaman Fatimah Az Zahra di Jombang, Jawa Timur adalah lebih awal daripada tarikh asal yang diuar-uarkan iaitu 17 Mei nanti.
Bagaimanapun ia dipercepatkan dan majlis dijalankan dalam suasana sederhana dihadiri ahli keluarga dan beberapa tetamu yang datang antaranya pimpinan Pondok Modern Gontor serta ketua lembaga di jajaran pondok itu.
Melalui akaun Instagramnya, Ustaz Abdul Somad memuatnaik beberapa keping gambar majlis tersebut. Beliau mengenakan jubah panjang dan berkalungkan bunga melati sementara Fatimah Az Zahra memakai gaun.
‘’Pernikahan ini dilaksanakan di bulan yang penuh berkah, bulan mulia, bertepatan dengan malam Nuzul Quran.
‘’Inshaallah akan menghadirkan keberkahan buat mempelai berdua dan kita semua,’’ kata Kiai Hasan Abdullah Sahal ketika menyampaikan nasihat pernikahan.
Kiai Hasan menyampaikan nasihat kepada kedua mempelai agar membangun rumah tangga atas dasar ketakwaan.

Beliau juga menceritakan bagaimana detik-detik perkenalan antara Ustaz Abdul Somad dengan gadis yang juga seorang penghafal Quran itu.
‘’Pada ketika itu Ustaz Abdul Somad menyampaikan ucapan takziah melalui WhatsApp berikutan meninggalnya anak saya. Selepas kami berbual soal pernikahan. Ustaz Abdul Somad minta tolong agar dicarikan jodoh yang hafidzoh (penghafal Quran),’’ katanya.
Kata Kiai Hasan, Ustaz Abdul Somad ingin menikahi seorang hafidzoh kerana sedang mengendalikan pesantrena tahfiz Quran.
‘’Inshaallah ini pasangan yang baik siap berdakwa meninggikan kalimatullah,’’ katanya.

